Friday, May 20, 2011

KAFA harap cadangan jadi realiti

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyambut baik hasrat kerajaan negeri untuk membina sebuah stadium bola sepak baru di Bukit Merbau, Pasir Puteh bagi menampung keperluan penonton yang kian meningkat.

Naib Presidennya, Rosmadi Ismail berkata, keputusan untuk membina sebuah stadium baru amat tepat kerana keadaan Stadium Sultan Muhammed IV sudah terlalu uzur dan tidak mampu untuk menampung jumlah penyokong yang ramai setiap kali perlawanan bola sepak membabitkan pasukan The Red Warriors.

Beliau bagaimanapun berharap kerajaan negeri tidak mempunyai agenda politik berhubung cadangan pembinaan stadium itu dan ia benar-benar menjadi kenyataan.

"KAFA mengalu-alukan pengumuman kerajaan negeri, rakyat Kelantan sudah lama meminta stadium baru untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat.

"Kita berharap benda ini tidak menjadi agenda politik, cadangan tinggal cadangan sahaja, dalam hal hendak buat stadium ini kita berharap kerajaan negeri benar-benar ikhlas," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas pengumuman Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk membina sebuah kompleks sukan bernilai RM159 juta di Bukit Merbau, Pasir Puteh membabitkan kawasan seluas 50.4 hektar.

Kompleks sukan itu membabitkan sebuah stadium bola sepak berkapasiti 40,000 tempat duduk serta beberapa prasarana sukan lain seperti kolam renang.

Rosmadi yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Bolas Sepak Malaysia (FAM) berkata, cadangan itu juga amat baik untuk pembangunan sukan di negeri ini terutama bola sepak yang menjadi sukan nombor satu rakyat Kelantan.

"Pada masa yang sama, saya berharap kerajaan negeri melihat lokasi stadium ini, memang di negeri lain stadium berada di luar pusat bandar, bagaimanapun ia disokong dengan kemudahan lain seperti jalan dua hingga tiga lorong.

"Sebagai contoh, jalan dari Kota Bharu menuju ke Kok Lanas terlalu sempit dan ia perlu dinaik taraf bagi menampung jumlah kenderaan yang akan meningkat secara mendadak setiap kali menjelang perlawanan bola sepak," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...