TERENGGANU kehilangan penyerang berbisa Ashaari Samsudin yang terpaksa direhatkan dalam pertemuan dengan Kelantan di Kuala Terengganu, 6 Jun ini kerana hukuman penggantungan tiga kad kuning.
Tanpa kelibat penyerang kebangsaan itu, jentera depan Terengganu menghadapi sedikit kesukaran untuk memecah kubu pertahanan Red Warriors dalam usaha mencari kemenangan di laman sendiri yang mungkin menjadi penentu hala tuju dan nasib dua pasukan tangga teratas Liga Super itu.
Namun jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim tidak gusar dengan kehilangan ayam tambatannya itu kerana masih ada pemain yang boleh mengambil alih tugas Ashaari.
“Saya mungkin menurunkan Wan Mohd Aliff Wan Jasmi bagi mengisi kekosongan Ashaari dan yakin pemain ini dapat memikul tugas memecah kubu pertahanan pelawat,” katanya.
Irfan yakin serangan yang diketuai Abdul Hadi Yahya bersama Manaf Mamat dan Wan Mohd Aliff tidak akan menghampakan peminat setia Terengganu yang mahu melihat di laman sendiri selepas rekod cemerlang sebelum ini dipecahkan Kedah minggu lalu.
“Lebih penting, tiga mata akan dapat memintas Kelantan dan saya percaya pemain sudah melupakan kekecewaan tewas kepada Kedah dan mendapat semula semula semangat yang hilang untuk memastikan Kelantan tidak pulang dengan sebarang mata,” katanya.
Berdepan skuad pimpinan Datuk M Karathu, Irfan turut mengingatkan anak buahnya supaya fokus dan mengawasi pergerakan jentera serangan Kelantan dan yakin kapten, Marzuki Yusof bersama-sama Mazizam Mohamad, Mohd Zubir Mohd Azmi dan Helmi Remeli mampu menutup ruang di benteng pertahanan.
No comments:
Post a Comment