WALAUPUN menghadapi laluan sukar, kemenangan ke atas PKNS dalam saingan Liga Perdana di Stadium Paroi, Isnin ini pasti memberi erti cukup bermakna buat Polis.
Dalam saingan pusingan kedua ini, Polis yang tumpas 0-1 pada saingan pertama mahu muncul sebagai pasukan pertama liga memecahkan rekod tanpa kalah pendahulu liga itu yang selesa mengumpul 42 mata hasil 13 kemenangan dan seri tiga kali.
Berbanding Polis yang sekadar mengumpul 30 mata hasil sembilan kemenangan dan seri tiga kali, kedudukan tangga keempat di belakang Sarawak (36 mata) dan Sime Darby (31 mata) belum cukup untuk memuaskan pengurusan yang mahu layak ke Liga Super, musim depan.
“Memang misi ini nampak sukar tapi kemenangan amat bermakna untuk menyuntik semangat pemain memburu dua tempat teratas,” kata jurulatih Polis, K Thayanathan.
Selain merentap ego PKNS, katanya, Polis juga mahu mengumpul mata penuh bagi memenuhi satu lagi matlamat iaitu bersaing dalam Piala Malaysia.
“Saya harap semua pemain fokus dan berusaha mencari kemenangan serta tidak mengulangi kesilapan seperti dalam perlawanan pusingan pertama lalu,” katanya yang berharap penjaring terbanyak pasukan, Khairul Izuan Abdullah menambah koleksi jaringan selepas mengumpul 11 gol serta gandingannya Fazuan Abdullah (6 gol).
No comments:
Post a Comment