Friday, May 20, 2011

FAM tidak bersalah isu lawan Zimbabwe

PETALING JAYA - Ketua Keselamatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Chris Eaton menjelaskan bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak bersalah langsung dalam kes Zimbabwe tidak menurunkan pasukan kebangsaannya dalam persahabatan dengan skuad negara, dua tahun lalu.

Katanya, ia hanyalah berkaitan penggunaan taktik pasukan pelawat kerana tidak menepati syarat seperti dijanjikan dengan FAM sebelumnya tetapi siasatan masih dijalankan untuk mengetahui sama ada ia mempunyai kaitan dengan sindiket mengatur perlawanan antarabangsa.

"Perlawanan Malaysia-Zimbabwe (yang kemudiannya ditukar kepada sebuah kelab dan tidak diiktiraf perlawanan antarabangsa A pada 2009) masih disiasat. Mereka disahkan bukan pasukan kebangsaan tetapi FAM tidak bersalah dalam proses ini," katanya di Wisma FAM, semalam.

Beliau hadir pada Sesi Taklimat dan Perbincangan Terperinci Bersama Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan FAM dengan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Eaton diiringi oleh Penyiasat Utama FIFA, Teny Steans; Pegawai Penerangan Utama FIFA, Javier Mena dan Pegawai Pembangunan FIFA Kuala Lumpur, Domeka Garamendi.

Eaton menyifatkan Malaysia sebagai negara yang wajar dicontohi negara ahli gabungan FIFA lain dalam kejayaannya membanteras rasuah bola sepak seperti pada 1994 hingga 1995 walaupun ia keputusan yang sukar diambil dalam keadaan mengaibkan dan meragut sebuah generasi pemain bola sepaknya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...