Thursday, May 19, 2011

Red Warriors sedia ‘baham’ FELDA

SELEPAS kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala FA, kapten Kelantan, Mohd Badri Radzi mahu memburu kemenangan ke atas FELDA United pada pertemuan pusingan kedua Liga Super di Stadium KLFA Cheras, malam ini. 

Dia yang dikenali Piya di kalangan rakan sepasukan cukup bersemangat berdepan Felda United yang ditewaskan Red Warriors 6-0 di Kota Bharu, pada pusingan pertama.

Malah, katanya, kemenangan dianggap penting buat Kelantan memberi tekanan kepada pendahulu liga, Selangor yang kini berbeza dua mata dengan Kelantan.


“Selepas kejayaan mara ke perlawanan akhir Piala FA, kami bersemangat tinggi dan agresif mengutip tiga mata ketika berdepan cabaran FELDA United di gelanggang lawan malam esok (malam ini). 

“Saya yang bergandingan dengan Shakir Saari di posisi tengah akan membantu rakan sepasukan terutama penyerang memecah benteng pertahanan lawan bagi mendapatkan gol diharapkan pasukan,” katanya. 

Bagaimanapun, Piya tetap berwaspada dengan kekuatan FELDA United yang turut menggandingkan pemain berpengalaman dan muda bagi mengelakkan Kelantan keciciran mata dalam pertemuan kedua-dua pasukan itu. 

Sementara itu, ketua jurulatih, Datuk M Karathu tetap menganggap perlawanan dengan FELDA United adalah penting bagi memberi tekanan kepada Selangor. 
Katanya, Kelantan tidak ada masalah untuk menurunkan kesebelasan utama, termasuk Norshahrul Idlan Talaha selaku penyerang selain dua tonggak pertahanan, Mohd Farisham Ismail dan Zairul Fitree Ishak. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...