PUTRAJAYA - Pihak mana yang harus menanggung kos penangguhan kerja-kerja membaiki trek Stadium Nasional sebanyak RM500,000 untuk penganjuran beberapa perlawanan bola sepak, terus menjadi tanda tanya.
Ini ekoran kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam yang berkata, perbincangan lanjut akan diadakan di antara pihak terlibat berhubung perkara tersebut.
Menurutnya, siapa yang akan menanggung kos penangguhan tersebut akan dibincangkan bersama pihak yang terlibat iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kontraktor dan Perbadanan Stadium.
Tegasnya, beliau tetap berharap beberapa perlawanan penting seperti final Piala FA antara Kelantan dengan Terengganu, perlawanan skuad kebangsaan menentang tiga kelab Liga Perdana England dan beberapa perlawanan antarabangsa yang lain dilangsungkan di venue tersebut.
''Perbadanan stadium terpaksa menghentikan kerja-kerja memperbaiki trek yang giat dijalankan, jadi sudah tentu ia melibatkan kos. Siapa yang akan menanggung kos penangguhan tersebut perlu dirundingkan dengan FAM.
"Kalau boleh kita tidak mahu membebankan duit rakyat untuk menanggung kos tersebut, jika FAM dapat menanggung kos berkenaan, itu sudah cukup baik,'' katanya pada sidang akhbar sempena Hari Belia Negara di pejabat Kementerian Belia dan Sukan, semalam.
Kenyataan Shabery itu menyusul tidak sampai seminggu selepas Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad menjelaskan bahawa kos penangguhan membaiki trek di venue tersebut tidak ada kena mengena dengan badan induk bola sepak negara itu, sebaliknya ia adalah antara Perbadanan Stadium dengan kontraktor.
Tambah Ahmad Shabery, beliau mengharapkan rundingan yang akan diadakan kelak berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.
Stadium Nasional yang sedang menjalani proses pembaikan trek, akan menjadi venue beberapa perlawanan bola sepak penting bermula dengan perlawanan akhir Piala FA di antara Kelantan dan Terengganu pada 11 Jun ini.
Venue tersebut juga turut menjadi gelanggang bagi perlawanan kelayakan Olimpik 2012 skuad kebangsaan menentang Lebanon dan kelayakan Piala Dunia pusingan pertama di antara skuad kebangsaan dan Taiwan, masing-masing pada 19 Jun dan 3 Julai.
Pada 21 Julai pula, skuad kebangsaan dijadual menentang kelab terkemuka Liga Perdana England, Chelsea, diikuti dua lagi aksi persahabatan menentang Liverpool dan Arsenal.
No comments:
Post a Comment