Monday, May 16, 2011

Sang Penyu enggan menangis lagi

MASIH terbayang kesedihan di wajah Irfan Bakti tatkala anak-anak buahnya kempunan untuk merasai nikmat perlawanan akhir Piala FA tahun lalu.
Ketika itu, rekod gemilang Terengganu dalam pusingan awal Piala FA telah dileburkan Kedah apabila skuad Penyu itu tewas 1-4 pada aksi separuh akhir.
Kekalahan itu sekali gus melenyapkan impian penyokong fanatik Terengganu yang dahaga untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi di pentas final selepas kali terakhir melakukannya pada 2004.
Malam ini, debaran serupa bakal dilalui Irfan dan anak-anak buahnya apabila mereka melayan kunjungan negeri jiran, Pahang bagi melengkapkan aksi separuh akhir kedua.
Beraksi di stadium keramat - Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, skuad Penyu itu akan turun berbekalkan kelebihan satu gol selepas menang 3-2 di Stadium Darul Makmur, Kuantan tiga hari lalu.
Andai berjaya mengekalkan kelebihan jaringan, Terengganu akan melangkah ke final Piala FA buat kali keempat pada 11 Jun ini selepas melakukannya pada edisi 1999, 2000 dan 2004.
“Siapa sahaja boleh menang dan saya akui Terengganu mempunyai kelebihan satu gol, namun ini bukan masa terbaik untuk menentukan siapa lebih layak ke perlawanan akhir.
“Kami masih berbaki 90 minit dan tempoh itu perlu disempurnakan dengan sebaiknya oleh pemain-pemain saya,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Tambah bekas pengendali Perlis itu lagi, pemain-pemainnya tiada alasan untuk leka biar seminit kerana situasi itu hanya akan menghukum pasukan secara keseluruhannya.
“Jangan hilang tumpuan, jangan leka dan bermain mengikut perancangan. Pahang mungkin gagal beraksi dengan baik pada saingan liga, namun di pentas kalah mati, apa sahaja boleh berlaku.
“Kami telah buktikan kami adalah pasukan utama musim ini dengan berada dalam kelompok tiga teratas Liga Super. Jadi, inilah masa terbaik untuk Terengganu kembali menjadi pasukan elit. Semuanya akan bermula malam ini,” ujarnya.
Menyentuh soal strategi, Irfan secara terbuka mengakui bermain secara bertahan bukanlah taktik terbaik untuk mencari kemenangan.
Sebaliknya, Irfan sedia mengarahkan anak-anak buahnya untuk menyerang sehingga ke minit terakhir permainan.
“Sedikit kelemahan di bahagian pertahanan dan saya harap pemain dapat menutup kekosongan itu sekali gus mengekang daripada Pahang mendapatkan sebarang jaringan.
“Saya cuma berharap pemain dapat menyerap tekanan kerana tekanan kini lebih memihak kepada Pahang,” ujarnya.
Irfan juga menjelaskan kedudukan penyerang utamanya, Abdul Manaf Mamat masih berada dalam keraguan untuk diturunkan ekoran masalah kecederaan.
“Kita akan tengok perkembangan semasa Manaf sama ada dia boleh beraksi atau tidak pada perlawanan esok (hari inj),” katanya.
BARISAN pemain Terengganu menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Pahang pada aksi separuh akhir kedua Piala FA malam ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...