Monday, May 23, 2011

KBS sambut baik guna padang tiruan

PETALING JAYA - Hasrat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mencadangkan agar padang bola sepak di negara ini menggunakan rumput tiruan perlu diberi pertimbangan sewajarnya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, penggunaan padang tiruan telah lama mendapat sokongan daripada FIFA sendiri yang amat menggalakkan teknologi tersebut diguna pakai.

"Bagi saya ia merupakan satu cadangan yang munasabah kerana masalah penyelenggaraan padang rumput asli bukan mudah dan ia turut menelan belanja yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa bermain paintball bersama pasukan-pasukan terbaik paintball Malaysia di sini, semalam.

Sebelum ini, FAM telah bertindak melantik agensi dari Jerman dan Belgium bagi membantu pembinaan padang tiruan untuk menggantikan padang rumput di stadium-stadium di negara ini.

Usaha menukar padang rumput kepada padang tiruan itu sejajar dengan galakan FIFA, namun padang tiruan yang dibina mesti menepati prosedur dan piawaian yang ditetapkan oleh badan bola sepak dunia itu.

Kos setiap satu padang tiruan dianggarkan sekitar RM3 juta.

Menurut Ahmad Shabery, mungkin kos permulaan untuk memasang padang tiruan melibatkan perbelanjaan yang tinggi, tetapi pihak pengurusan stadium tidak lagi terbeban dengan kos penyelenggaraan pula.

Ini kerana, jelasnya, jangka hayat atau ketahanan padang tiruan lebih lama berbanding padang yang menggunakan 'cow-grass' dan lebih mudah dijaga serta kos penyelenggaraan lebih murah.

"Namun begitu, saya berharap padang tiruan yang digunakan biarlah menepati syarat FIFA dan mempunyai gred yang bagus," ujarnya.

Malah, beliau memberitahu, penggunaan padang tiruan juga amat selamat dan para pemain bola sepak Malaysia hanya perlu mengambil masa yang singkat untuk menyesuaikan diri mereka dengan gelenggang berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai Kejohanan Paintball Antarabangsa Super Seven 2011, Ahmad Shabery berkata, pertandingan itu akan diadakan bersempena sambutan Hari Belia Negara pada 28 dan 29 Mei ini di Precint 5, Putrajaya.

"Sukan paintball mungkin bukan acara yang dipertandingkan di Olimpik, Sukan Asia atau pun Sukan SEA, tetapi, sukan ini semakin mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Kejohanan yang dijangka menarik penyertaan 80 buah pasukan dalam dan luar negara itu turut berjaya menarik penyertaan pasukan dari Singapura, Indonesia, Filipina dan Myanmar.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...