Monday, May 23, 2011

Terengganu rampas tangga kedua liga

DUA jaringan Abdul Manaf Mamat membantu Terengganu mencipta kemenangan besar 3-0 buat skuad Penyu di laman sendiri mengatasi Negeri Sembilan - sekali gus memintas Selangor di tempat kedua Liga Super. 

Sekalipun menguasai sebahagian besar permainan dengan beberapa percubaan berbahaya, gol pertama Terengganu hanya hadir pada minit ke-24 menerusi Manaf selepas menerima hantaran cantik Abdul Hadi Yahya yang berjaya menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd Fadli Idris.Masuk separuh masa kedua, Terengganu terus menggandakan asakan dan hasilnya Manaf sekali lagi meledak gol kedua pada minit ke-54 sebelum menjadi watak penting gol ketiga apabila hantarannya berjaya disudahkan Mohd Ashaari Shamsuddin pada minit ke-63.Di Stadium JCorp, Pasir Gudang, Johor FC memastikan pelawat Perlis terus kekal di zon bahaya penyingkiran selepas menewaskan pasukan Singa Utara itu jaringan 2-1. 

Begitupun, Johor FC yang dibimbing Azuan Zain terlebih dulu dikejutkan dengan jaringan pelawat pada minit ke-32 menerusi jaringan mudah Mohd Hafiszuan Salehudin sebelum bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-41 menerusi penalti kapten pasukan Rezal Zambery Yahya. 

Rezal memastikan tuan rumah meraih mata penuh apabila sepakan percumanya pada minit ke-75 berjaya menerjah gawang lawan. 

Di Stadium KLFA Cheras, pertemuan panas di antara FELDA United menentang Perak akhirnya memihak dengan kemenangan kepada pelawat hasil jaringan tunggal penyerang Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang menerima hantaran cantik Mohd Shazuan Mohd Ashraf pada minit ke-10. 
Di Stadium Darulaman, Kedah yang melayan kunjungan Kuala Lumpur sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan manakala dalam satu-satunya perlawanan di Borneo, Sabah yang melayan kunjungan pelawat dari Pantai Timur, T-Team mencipta kekalahan besar apabila tumbang 3-1 di Stadium Likas. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...