Wednesday, May 25, 2011

PBSNT terima tajaan semarak persaingan

KUALA TERENGGANU - Prestasi skuad Penyu yang kian memuncak kebelakangan ini dan semakin hampir menggapai dua kejuaraan, makin mendapat perhatian pelbagai pihak.

Terbaru, sebuah syarikat komputer terkemuka milik kerajaan negeri iaitu Top IT tampil menghulurkan tajaan kepada skuad bimbingan Irfan Bakti itu.

Tajaan RM70,000 itu diberi sebagai tanda sokongan dalam usaha menaikkan moral para pemain yang kini berada pada landasan terbaik untuk menjulang dua kejuaraan berturut-turut iaitu Piala FA dan Liga Super.

Tajaan diserahkan sendiri oleh Pengerusi Top IT, Mohd. Shafaruddin Mustaffa kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh.

Menurut Shafaruddin, Top IT sentiasa menyokong pembangunan bola sepak di negeri ini dan tajaan itu bagaikan satu suntikan semangat terutamanya kepada para pemain.

"Ia bukanlah semata-mata tajaan tetapi lebih daripada itu. Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk membantu pasukan yang kini semakin menunjukkan potensi yang baik," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Dalam pada itu, Che Mat berkata, tajaan yang dihulurkan oleh syarikat komputer itu begitu bermakna kerana perbelanjaan untuk menguruskan pasukan Terengganu semakin besar.

Katanya, tajaan itu juga tiba tepat pada masanya dan beliau berharap agar para pemain dapat menghadiahkan kejuaraan sebagai membalas sokongan yang diberikan oleh pihak penaja.

"Sebelum ini, penaja utama kami datangnya daripada kerajaan negeri selain Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) manakala Specs pula menaja dari segi peralatan sukan dan pakaian," ujar beliau.

Che Mat juga mengakui bahawa prestasi memberangsangkan yang dipamerkan skuad itu dalam saingan Liga Malaysia sejak dua tahun lalu adalah hasil daripada sokongan pelbagai pihak.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...