Thursday, May 12, 2011

PBNP nafi pemain terlibat kegiatan negatif

SEREMBAN – Pengendali skuad Hoben Jang Hoben, Mohd. Azraai Khor Abdullah terkilan dengan kegagalan pasukannya mengutip tiga mata setelah seri tanpa jaringan dengan Kelantan dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, kelmarin.

Mohd. Azraai berkata, kegagalan mencari tiga mata berpunca daripada ketumpulan jentera serangan akibat ketiadaan tiga penyerang utama iaitu Ahmad Fakhri Saarani, Mohd. Firdaus Azizul dan Mohd. Shaffik Abd. Rahman, yang cedera.

“Ketiadaan mereka menjejaskan penyudah Negeri Sembilan, apatah lagi ketika berdepan Kelantan yang membariskan ramai pemain berpengalaman.

“Akibat tiada pilihan, saya terpaksa membuat rombakan bagi mencari kesebelasan terbaik termasuk meletakan Shukor Adan, Hairuddin Omar dan Shahurain Abu Samah di bahagian serangan,” katanya semalam.

Namun bekas bekas jurulatih kebangsaan itu memuji semangat juang anak buahnya di sepanjang perlawanan kelmarin.

“Walaupun seri, saya memuji ketangkasan penjaga gol Mohd. Farizal Harun dan pemain pertahanan, Irwan Fadly yang beraksi cemerlang dengan menafikan beberapa percubaan bahaya penyerang lawan.

“Saya berpuas hati kerana pemain bukan sahaja berjaya mengimbangi kekuatan skuad Kelantan, malah mampu mencipta banyak peluang di depan pintu gol lawan, cuma agak terkilan kerana ia gagal diterjemahkan dengan jaringan,” ujarnya.

Tambahan, beliau perlu memberi tumpuan memperkemaskan jentera serangan pasukan untuk mengharungi perlawanan berikutnya.

“Saya akan terus membuka peluang kepada pemain muda yang diserapkan dari skuad Piala Presiden seperti Mohd. Khairul Ridwan dan Muszaki Abu Bakar dalam kesebelasan utama kerana mereka menunjukkan prestasi membanggakan.

‘‘Namun, saya tetap mengharapkan pemain senior seperti Shukor, Hairuddin, Shahurain, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak dan S. Kunanlan untuk terus memimpin rakan sepasukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...