JURULATIH Kedah, Wan Jamak Wan Hassan meletakkan harapan kepada barisan pemain muda apabila bertemu Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.
Ini kerana, ramai pemain utama pasukan itu masih cedera atau belum cergas sepenuhnya.
Wan Jamak berkata, dia menyedari aksi menentang Selangor yang menduduki tangga kedua liga akan memberikan tekanan kepada pemain-pemain muda yang tidak banyak pengalaman.
Begitupun, dia tetap berharap barisan pemain pelapis ini dapat mempamerkan kesungguhan untuk mencapai kemenangan di hadapan penyokong sendiri.
"Saya harap dengan strategi yang telah kita atur dapat mencipta satu kejutan untuk mengutip tiga mata penuh di tempat sendiri," katanya di Alor Setar semalam.
Antara pemain utama yang masih cedera dan tidak cergas sepenuhnya adalah pemain sayap, Mohd. Khyril Muhymeen Zambri, penyerang, Azlan Ismail serta dua pemain tengah, Mohd. Azmi Muslim dan V. Thirumurugan.
Wan Jamak berkata, meskipun akan berhadapan tekanan daripada penyokong sendiri, dia menasihatkan anak-anak buahnya agar bermain seperti biasa dan memberi fokus dalam padang serta bijak mencari peluang untuk memperoleh gol.
"Tekanan daripada penyokong sebenarnya bagus untuk melonjakkan semangat pemain bagi beraksi di padang tetapi bukan semua pemain dapat terima.
"Saya harap anak buah saya tenang dan beri fokus sepenuhnya sepanjang perlawanan itu berlangsung agar mereka tidak memberi peluang kepada lawan untuk membolosi pintu gol Kedah," katanya.
Kedah kini menduduki tangga keempat liga dengan mengumpul 28 mata hasil daripada lapan kemenangan, empat seri dan enam kali kalah.
No comments:
Post a Comment