PEMAIN Selangor, Hardi Jaafar (kanan) mengasak pemain Kuala Lumpur, Muhd. Hazwan Rahman pada aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi. |
JUARA bertahan, Selangor kembali menemui rentak kemenangan apabila berjaya menewaskan musuh setempat, Kuala Lumpur 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.
Dua jaringan Rudie Ramli dan satu gol daripada Safiq Rahim sudah cukup untuk membawa kebangkitan Selangor yang tewas 0-1 kepada Kelantan dan seri 1-1 dengan Terengganu pada dua aksi sebelum ini.
Namun Selangor masih kekal di tangga kedua menerusi perbezaan jaringan biarpun terikat 36 mata setelah pendahulu, Kelantan turut menewaskan Johor FC 1-0 di Pasir Gudang.
Pada aksi malam tadi, Selangor mendahului seawal minit ke-10 menerusi rembatan cantik Rudie yang gagal diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Norazlan Razali.
Kuala Lumpur berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-30 selepas Ahmad Hazwan Bakri pantas menyambar hantaran Fahrul Razi Kamaruddin.
Enam minit kemudian, Kuala Lumpur berpeluang menambah jaringan tetapi rembatan kencang Syafiq Johari dari luar kotak penalti berjaya ditepis keluar penjaga gol Selangor, Saiful Amar Sudar.
Sebaik babak kedua bersambung, Selangor tidak menunggu lama apabila memperoleh gol kedua hasil sepakan percuma Safiq pada minit ke-46.
Kuala Lumpur terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-60 setelah penyerangnya, Azmi Sarmin dibuang padang akibat kad kuning kedua kerana melakukan terjahan lewat terhadap Azidan Sarudin.
Kelebihan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya oleh Selangor apabila berjaya menambah gol ketiga pada minit ke-89 yang juga gol kedua peribadi Rudie menerusi satu serangan balas.
Selangor akan menanti kunjungan Johor FC pada aksi ke-18 di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.
No comments:
Post a Comment