Wednesday, May 11, 2011

Tertekan tidak halang T-Team catat kemenangan

KUALA TERENGGANU - T-Team tetap mampu mencatat kemenangan 2-0 ke atas Felda United pada aksi Liga Super kelmarin walaupun beraksi dalam keadaan tertekan ekoran masalah kecederaan pemain dan prestasi yang tidak menentu.

Pengendali T-Team, Yunus Alif berkata, anak-anak buahnya bermotivasi tinggi untuk memenangi perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan tidak mudah goyah walaupun berdepan asakan bertali arus pasukan pelawat.

Yunus mengakui, kekalahan 1-2 kepada Perlis sebelum ini, membuatkan para pemain beraksi dalam keadaan yang tertekan ketika melayan kunjungan Felda United.

"Haris (Safwan Kamal) tak dapat diturunkan kerana demam. Enam lagi pemain masih dibelenggu kecederaan dan saya tidak punya banyak pilihan untuk menyenaraikan pemain sebagai kesebelasan utama malam ini (kelmarin).

"Namun, saya bersyukur kerana para pemain saya cekal bertahan dan sasaran untuk kembali memperoleh tiga mata penuh akhirnya tercapai," katanya selepas tamat perlawanan kelmarin.

Dalam perlawanan tersebut, Indra Putra Mahyuddin mencatatkan nama selaku penjaring apabila memanfaatkan bola muntah yang gagal ditangkap kemas oleh Mohd. Hamsani Ahmad hasil percubaan Mohd. Kamal Rodiarjat Mat Ali pada minit kedua perlawanan.

Pemain gantian T-Team, Badrul Hisani Abd. Rahman menambah derita pelawat apabila meledak gol kedua pada minit ke-86.

Felda United, sepatutnya pulang dengan sekurang-kurangnya satu gol bagaimanapun kecewa apabila bintang berpengalaman mereka, Liew Kit Kong gagal menyempurnakan tendangan penalti seminit sebelum wisel penamat.

Pemain T-Team, Mohd. Saaufi Saadi menanduk bola walaupun diasak pemain Felda United, Abdul Ghani Abdul Rahman pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin. - UTUSAN/ Shaifudin Mohd Nor

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...