KUALA LUMPUR - Demi peminat bola sepak negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersedia menanggung kos penangguhan pembaikan trek Stadium Nasional Bukit Jalil yang mencecah RM500,000 bagi membolehkan ia boleh dibuka semula untuk perlawanan tiga kelab gergasi Liga Perdana England (EPL)!
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang turut menyambut baik cadangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery yang mengenakan syarat tersebut kelmarin, bersedia berunding dengan pihak kontraktor Perbadanan Stadium Merdeka bagi mencapai kata sepakat.
Katanya, kesediaan itu juga ditambah kerana FAM tidak mempunyai perancangan untuk menggunakan stadium lain kecuali Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi aksi perlawanan persahabatan Liverpool, Arsenal dan Chelsea menentang Harimau Malaya pada Julai nanti.
''Syarat yang diberikan oleh Ahmad Shabery adalah positif dan sudah tentu kami akan berusaha untuk menanggung kos penangguhan pembaikan trek yang diminta, asalkan perlawanan dapat dilangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
"Ini merupakan detik bersejarah buat sukan bola sepak Malaysia.
"Mana ada sebelum ini tiga pasukan gergasi EPL datang dan beraksi ke sini dalam masa setahun.
"Jadi amatlah rugi jika kemudahan yang terdapat di Stadium Nasional tidak dapat dimanfaatkan.
"Bukan sahaja kemudahan asas seperti pengangkutan awam dan kemudahan meletak kenderaan tetapi mutu padang di Stadium Nasional juga mendapat pujian banyak pihak yang pernah beraksi di sana.
"FAM mahukan semua penonton Malaysia berada dalam keadaan selesa dan apa paling penting, ia boleh memuatkan ramai penonton,'' katanya.
Ujar Azzuddin lagi, FAM dalam masa sama berharap perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 dan Olimpik 2012 dapat dilangsungkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
"Jika skuad negara bermain di Stadium Nasional, Bukit Jalil, saya yakin lebih ramai penonton dapat hadir untuk memberikan sokongan, memandangkan lokasinya yang strategik, " jelasnya.
Kelmarin, Ahmad Shabery memberikan syarat kepada FAM bahawa mereka perlu menanggung kos penangguhan pembaikan trek sehingga RM500,000 jika mahu menggunakan Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai gelanggang perlawanan kerana tidak mahu membazirkan wang rakyat.
No comments:
Post a Comment