KUALA LUMPUR - Juara Piala FA musim ini, Terengganu bercadang untuk memantapkan lagi pasukan mereka terutama sekali di bahagian tengah dan serangan menjelang saingan Piala Malaysia bulan depan.
Menurut jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim, bagi memantapkan pasukannya itu seorang pemain dari pasukan jiran, Pahang telah dikenal pasti iaitu Azamuddin Mohd. Akil yang akan dipinjamkan untuk memburu piala kedua musim ini.
"Saya harap semuanya berjalan lancar, memang kita ada mengemukakan hasrat untuk mendapatkan Azamuddin bagi memantapkan lagi bahagian serangan dan juga tengah, bagaimanapun ia tidak bermakna kami kurang pemain yang hebat di posisi tersebut," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Jelasnya, jika dinilai dari segi jaringan pasukan Terengganu merupakan pasukan paling banyak menjaringkan gol dalam saingan Liga Super tahun ini walaupun menduduki tempat kedua di belakang Kelantan.
"Kami cuma ingin menguatkan lagi bahagian tersebut, walaupun menjaringkan 54 gol di Liga Super tahun ini, mengatasi Kelantan 52 gol manakala Selangor dengan 42 jaringan," katanya yang pulang bersama-sama skuad Terengganu dari London, baru-baru ini.
Azamuddin telah menjaringkan tiga gol musim ini, penjaring kedua terbanyak di belakang Famirul Asraf Sayuti.
Bagaimanapun, kedua-duanya gagal membantu Pahang kekal dalam saingan Liga Super seterusnya gagal beraksi di kempen Piala Malaysia.
Irfan berkata, anak-anak buahnya sekarang ini bersemangat untuk memulakan latihan pertama yang akan berlangsung pada Sabtu ini walaupun dalam suasana melakukan ibadah puasa.
"Latihan berjalan seperti biasa. Selepas bercuti di London sebagai hadiah kemenangan Piala FA musim ini, pemain akan turun semula ke padang di mana kami akan mengadakan latihan di sebelah petang dan dua atau tiga hari dalam seminggu di sebelah malam," katanya.
No comments:
Post a Comment