KETUA Keselamatan Fifa, Chris Eaton mengaku pihaknya mempunyai maklumat pembabitan pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam gejala mengatur keputusan perlawanan, namun sejauh mana kebenarannya belum dapat dibuktikan kerana ia masih dalam siasatan.
Beliau yang mengadakan pertemuan selama sejam dengan FAM serta wakil Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Wisma FAM Kelana Jaya semalam berkata, segala maklumat yang diperoleh akan disalurkan kepada SPRM bagi siasatan lanjut.
“Saya tidak akan menjelaskan secara terperinci, kami menjalankan siasatan menyeluruh dan saya secara telus menyatakan kami mempunyai maklumat, namun maklumat itu tidak semestinya bukti. Saya menggalakkan sesiapa yang mempunyai maklumat atau bukti tampil membantu kerana bola sepak kini berdepan krisis di peringkat global,” katanya.
Antara yang hadir pada pertemuan itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, Pengarah Bahagian Risikan SPRM, Shamshun Baharin Mohd Jamil, Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat serta dua lagi wakil Fifa, Terry Steans dan Michael Pride.
Eaton, bekas pegawai Interpol sebelum ini menggemparkan arena bola sepak tanah air apabila membuat kenyataan rasuah bola sepak di Malaysia bukan hanya membabitkan pemain dan jurulatih, malah pegawai FAM menerusi laporan yang disiarkan Straits Times Singapura pada 16 Februari lalu.
Badan induk bola sepak tanah air yang tidak senang dengan kenyataan Eaton itu lantas meminta beliau membuat penjelasan dan mengemukakan bukti sekiranya benar ada pegawai FAM terbabit seperti didakwanya itu.
Ketika ditanya adakah FAM puas hati dengan penjelasan diberikan itu, Eaton berkata: “Anda perlu tanya FAM, saya tidak boleh ulas bagi pihak mereka, apa yang saya boleh nyatakan kami sudah bersetuju untuk bekerjasama dan kami akan memberi maklumat terus kepada SPRM.”
Beliau bagaimanapun puas hati dengan tindakan proaktif FAM, Polis dan SPRM dalam membanteras gejala ini memandangkan Asia Tenggara menjadi pangkalan global judi bola sepak.
“Ini masalah global, ini bukan soal beberapa pemain yang tamak, ini bukan soal beberapa jurulatih atau pegawai yang tamak tapi ini membabitkan pertubuhan jenayah terancang yang perlu kita hentikan. Masalah ini bukan hanya di Malaysia, Vietnam, Laos, China atau Indonesia tapi ia sudah berleluasa.
“Namun sudah terbukti majoriti jenayah ini di peringkat global berpunca dari Asia Tenggara.” Eaton bagaimanapun sudah meletak jawatan untuk menyertai Pusat Keselamatan Sukan Antarabangsa di Doha selaku Pengarah Integriti Sukan. Namun beliau masih lagi bersama Fifa sebelum memulakan tugas baru itu hujung bulan depan.
No comments:
Post a Comment