Tuesday, March 6, 2012

Misi besar Terengganu


Harian Metro

IRINGAN doa seluruh peminat bola sepak negara dipohon barisan Terengganu yang turun menentang kelab Vietnam, Song Lam Nghe An dalam kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di bandar Winh, Hanoi, hari ini.


Kapten, Mohd Sharbinee Allawee Ramli berkata, sokongan padu peminat setia amat diperlukan untuk menaikkan semangat pemain.




“Biarpun jauh beribu batu, iringan doa dan kata-kata semangat peminat amat perlu buat kami memperagakan aksi terbaik menentang kelab Vietnam itu.


“Selain itu saya turut mengharapkan rakan sepasukan tidak gentar berdepan cabaran pasukan itu sebaliknya bertekad menyajikan persembahan terbaik untuk mencatat kemenangan pertama,” katanya.

Menurut penjaga gol Terengganu itu, biarpun aksi skuadnya tampak goyah terutama ketika bertemu Kuala Lumpur, Sabtu lalu, dia yakin strategi direncanakan ketua jurulatih, Mat Zan Mat Aris bakal memberi sinar buat pasukannya. 



“Saya percaya ramuan dan taktikal yang bakal dicorak Mat Zan akan menjadi dengan syarat semua pemain menggalas tugas dengan berkesan dan mengikut arahan jurulatih,” katanya.

Sementara itu, Mat Zan yang sebelum ini sedikit panik menjelang pertemuan dengan kelab Vietnam itu menagih pengalaman sebahagian besar pemainnya yang pernah bermain di pentas antarabangsa bersama skuad kebangsaan dalam misi mencatat kemenangan pada perlawanan itu.





“Jika dalam aksi liga, pemain tampak kurang konsisten selain gagal memanfaatkan peluang, kini adalah masa terbaik untuk membuktikan mereka mampu memperagakan aksi terbaik,” katanya. 


Menurutnya, pengalaman pentas antarabangsa pemain seperti Muslim Ahmad, Abdul Syukor Jusoh, Mohd Ashaari Samsudin, Abdul Hadi Yahaya, Abdul Manaf Mamat, Sharbinee, Mohd Faizal Muhamad dan Mohd Zuber Mohd Azmi harus dimanfaatkan sepenuhnya bagi merealisasikan impian mencatat kemenangan.

Selain itu, sentuhan penyerang import, Francis Forkey Doe yang pernah bermain di peringkat antarabangsa termasuk di Amerika Syarikat dan Mesir amat diharapkan Mat Zan untuk merobek kubu lawan.




Menurut Mat Zan, beliau turut mengharapkan pemain mampu menghindari tekanan dan berfikiran positif bagi menjamin tumpuan ketika bermain kerana lawan sudah pasti mengamalkan permainan pantas.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...