Tuesday, March 6, 2012

FAM kecewa penjelasan tak konkrit


Harian Metro

PENJELASAN sejam Ketua Keselamatan Fifa, Chris Eaton berhubung dakwaan pembabitan pegawai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam gejala mengatur perlawanan tidak memuaskan hati badan induk bola sepak tanah air itu.


Selepas pertemuan itu, FAM tampil dengan kenyataan media menyuarakan rasa kecewa kerana Eaton gagal memberi maklumat atau bukti mengenai dakwaannya yang disiarkan akhbar Straits Times di Singapura 16 Februari lalu.




“FAM kecewa kerana Chris Eaton tidak memberi maklumat mahupun bukti bagi menjelaskan kenyataannya sebagaimana diharapkan, sebaliknya hanya sekadar menyatakan kenyataan itu dibuat berdasarkan dakwaan pihak tertentu dan siasatan masih dijalankan Fifa.




“Beliau tidak menjelaskan dakwaan itu mahupun mengenai pihak yang membuat dakwaan seperti dimaksudkan,” jelas kenyataan dihantar Unit Media FAM semalam.

Turut hadir pada pertemuan itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad, Pengarah Bahagian Risikan SPRM, Shamshun Baharin Mohd Jamil, Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Tan Sri Aseh Che Mat serta dua lagi wakil Fifa, Terry Steans dan Michael Pride.


Menurut FAM, Eaton turut mengambil kesempatan pada perjumpaan singkat itu untuk memaklumkan beliau akan meninggalkan Fifa dan bertugas dengan sebuah agensi lain di Qatar tidak lama lagi.





Eaton tiba di Kuala Lumpur selepas FAM mengutus surat menuntut penjelasan mengenai dakwaan mencalar imej badan induk bola sepak tanah air itu yang kini ‘berperang’ bersama Polis dan SPRM dalam membanteras gejala rasuah bola sepak.

Rasuah bola sepak kembali menghantui arena bola sepak tempatan apabila 11 pemain dan seorang bekas jurulatih pasukan Piala Presiden digantung FAM bulan lalu.




Malah FAM juga mendedahkan tiga pasukan ‘senior’ Liga-M disiasat Polis dan SPRM kerana disyaki terbabit dengan gejala mengatur perlawanan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...