Tuesday, May 31, 2011

Pemain muda tak hampakan peminat

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin gembira nasihatnya kepada pengurusan pasukan supaya menggunakan khidmat pemain-pemain muda semakin membuahkan hasil lumayan apabila Seladang mencatat tiga kemenangan berturut-turut dalam kancah Liga Super 2011 setakat ini.


Zainol berkata berikutan prestasi hambar di awal pusingan kedua, beliau menasihatkan pengurus pasukan, Kharul Azwan Harun supaya menurunkan pemain-pemain muda bertujuan memberi pendedahan kepada mereka.

“Saya nasihatkan Azwan supaya tidak terlalu pentingkan keputusan tahun ini sebaliknya perlu membina pasukan untuk menghadapi musim kedua.


“Ini kerana Perak terlalu bergantung kepada pemain senior di peringkat awal manakala pemain muda lebih banyak memanaskan kerusi simpanan. Alhamdullilah pasukan kini berada di atas landasan yang betul,” katanya.

Dengan hanya mengekalkan tiga tonggak lama, Khairi Zainuddin, kapten Shahrulnizam Mustapha dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli (gambar), jurulatih, Norizan Bakar memberi peluang kepada muka baru Wan Hossen Wan Abd Ghani dan Mohd Shazwan Ashraf Mathews yang menyaksikan perubahan nasib kepada pasukan itu dalam tiga perlawanan terakhirnya.


Mengenai penyingkiran Razali Umar Kandasamy, Zainol yakin ia tidak menjejas moral pasukan kerana pemain Seladang sudah biasa dengan ketiadaannya selama ini.





“Saya berharap pemain menumpukan sepenuh perhatian kepada tugasan seterusnya memandangkan kini tinggal baki tiga perlawanan sahaja,”katanya.

Katanya baki tiga perlawanan iaitu bertemu Johor FC pada 6 Jun, Kelantan (14 Jun) dan Selangor ( 6 Julai) akan menentukan hala tuju pasukan Seladang.

Ashaari digantung

TERENGGANU kehilangan penyerang berbisa Ashaari Samsudin yang terpaksa direhatkan dalam pertemuan dengan Kelantan di Kuala Terengganu, 6 Jun ini kerana hukuman penggantungan tiga kad kuning. 

Tanpa kelibat penyerang kebangsaan itu, jentera depan Terengganu menghadapi sedikit kesukaran untuk memecah kubu pertahanan Red Warriors dalam usaha mencari kemenangan di laman sendiri yang mungkin menjadi penentu hala tuju dan nasib dua pasukan tangga teratas Liga Super itu.

Namun jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim tidak gusar dengan kehilangan ayam tambatannya itu kerana masih ada pemain yang boleh mengambil alih tugas Ashaari.


“Saya mungkin menurunkan Wan Mohd Aliff Wan Jasmi bagi mengisi kekosongan Ashaari dan yakin pemain ini dapat memikul tugas memecah kubu pertahanan pelawat,” katanya. 

Irfan yakin serangan yang diketuai Abdul Hadi Yahya bersama Manaf Mamat dan Wan Mohd Aliff tidak akan menghampakan peminat setia Terengganu yang mahu melihat di laman sendiri selepas rekod cemerlang sebelum ini dipecahkan Kedah minggu lalu. 

“Lebih penting, tiga mata akan dapat memintas Kelantan dan saya percaya pemain sudah melupakan kekecewaan tewas kepada Kedah dan mendapat semula semula semangat yang hilang untuk memastikan Kelantan tidak pulang dengan sebarang mata,” katanya. 

Berdepan skuad pimpinan Datuk M Karathu, Irfan turut mengingatkan anak buahnya supaya fokus dan mengawasi pergerakan jentera serangan Kelantan dan yakin kapten, Marzuki Yusof bersama-sama Mazizam Mohamad, Mohd Zubir Mohd Azmi dan Helmi Remeli mampu menutup ruang di benteng pertahanan. 

Selangor tekad bangkit

KEMENANGAN ke atas Negeri Sembilan Sabtu lalu disifatkan satu kebangkitan yang tepat pada masanya oleh K Devan yang berharap pemain Selangor terus meraih tiga mata penuh pada baki tiga perlawanan sebelum Liga Super melabuhkan tirai musim ini. 

Menurut pengendali Merah Kuning itu, kemenangan 2-0 di Stadium Shah Alam itu bukan saja amat bermakna dalam meningkatkan kembali moral pemain dan sokongan peminat setia, lebih penting ia kembali mencerahkan peluang untuk bersaing merebut kejuaraan liga di belakang Kelantan dan Terengganu, apabila ketinggalan dua mata berbanding dua pasukan Pantai Timur yang berkongsi 47 mata.

Kelantan dan Terengganu hanya dipisahkan dengan perbezaan gol dan kedua-dua pasukan bakal bertemu di Kuala Terengganu Isnin depan manakala Selangor menanti kunjungan pasukan terbawah liga, Perlis di Shah Alam.


Andai Selangor menang ke atas Perlis dan Kelantan serta Terengganu seri, maka ketiga-tiga pasukan mengumpul jumlah mata sama, manakala jika ada pasukan yang tewas, Selangor berpeluang melonjak ke tangga kedua. 

Devan berkata, tempoh rehat selama seminggu ketika ini dimanfaatkan sebaiknya untuk dia kembali memantapkan pasukan dan memberi peluang kepada beberapa tonggak yang masih cedera, pulih sepenuhnya. 

“Selepas kemenangan ke atas Negeri Sembilan, semua pemain diberi cuti rehat tiga hari bagi membolehkan mereka kembali segar selepas mengharungi jadual padat sejak dua bulan lalu,” katanya. 

Apa yang menggembirakan Devan, prestasi penyerang Mohd Fadzli Saari dan Mohd Rudie Ramlie yang menemui sasaran ketika kemenangan ke atas Negeri Sembilan semakin tajam di depan gawang lawan. 
“Walaupun belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan, Fadzli dan Rudie tunjukkan peningkatan, selain komitmen tinggi pemain lain dan ini satu perkembangan baik untuk bersaing dan mempertahankan kejuaraan Liga Super,” katanya. 

Harimau Malaya tetap tampil aksi memukau

BARISAN 24 pemain kebangsaan disenaraikan K Rajagobal bagi menghadapi Hong Kong dalam perlawanan persahabatan Jumaat ini bakal menampilkan keseimbangan antara pengalaman dan kudrat muda yang dijangka mampu meneruskan rentak cemerlang Harimau Malaya tahun ini. 

Kehadiran 10 nama baru termasuk penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki, Safee Sali yang kini menyarung jersi kelab Indonesia Pelita Jaya, dilihat berupaya mengulangi kemenangan ke atas Hong Kong sebelum ini apabila skuad negara berkunjung ke negara itu.

Tanpa mahu mengganggu persiapan skuad Olimpik kendalian Ong Kim Swee, Rajagobal terpaksa mengetepikan lapan pemain muda yang menjadi tonggak kedua-dua skuad berkenaan tetapi bukan bermakna barisan pilihannya kali ini kurang berbisa.


Dengan rata-rata pemain disenaraikan kerana aksi cemerlang sepanjang Liga Super, percaturannya dijangka tertumpu kepada penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahya yang mungkin digandingkan dengan penyerang prolifik, Norshahrul Idlan Talaha. 

Kepulangan Baddrol Bakhtiar juga memberi lebih pilihan buat Rajagobal mencorak jentera serangannya tetapi matlamat utama bukan memburu kemenangan, sebaliknya menilai kemampuan pemain baru di peringkat antarabangsa. 

Hadi yang kini mendahului carta penjaring terbanyak Liga Super, bertekad menampilkan kemampuan terbaiknya bagi memikat Rajagobal, sekali gus menjadi muka tetap dalam skuad kebangsaan. 

“Saya akan cuba sebaik mungkin untuk mendapatkan kepercayaan jurulatih,” katanya selepas sesi latihan pusat di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, semalam. 

Daripada 24 pemain yang dipanggil ke kem latihan bermula kelmarin antaranya Nasril Nourdin, Syed Adney Syed Hussein, Nasriq Baharom, Mohamad Azmi Muslim, Baddrol, S Chanturu, Helmi Remeli, Ismail Faruqi Ashari dan Mohd Farisham Ismail, hanya 22 akan dibawa ke Hong Kong. 

Monday, May 30, 2011

Gejala rasuah terus hantui Liga M?

DUNIA sukan bola sepak tanah air kembali ‘bergegar’ gara-gara dakwaan isu rasuah yang sudah mula melanda beberapa pasukan dalam saingan Liga Malaysia, sejak kebelakangan ini. 

Sebagai bukti, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) melalui Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan membuat laporan di Balai Polis Seremban 2, 26 Mei lalu mengenai kegiatan me-ngatur keputusan perlawanan membabitkan skuad Piala Presiden dan Liga Super negeri itu. 

Andai benar seperti apa yang didedahkan PBNS baru-baru ini, perkara itu tidak boleh dibiarkan berlarutan dan menjadi ‘barah’ sehingga melumpuhkan perkembangan sukan nombor satu negara ini. 

Jika diimbas kembali, negara pernah digemparkan dengan skandal rasuah pada tahun 1994 dan 1995. 

Ketika itu, lebih 100 pemain serta jurulatih yang disyaki mengatur keputusan perlawanan Piala Malaysia dan Liga Perdana ditahan pihak berkuasa untuk disoal siasat. 

Hasilnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenakan hukuman di bawah Akta Kediaman Terhad terhadap 26 pemain yang menyaksikan mereka dibuang daerah manakala Lembaga Disiplin FAM pula menggantung penyertaan antara satu hingga lima tahun terhadap 57 pemain serta seorang penolong jurulatih. 

Pada 2008 pula, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) menggantung tujuh pemainnya kerana disyaki menerima rasuah antara RM20,000 hingga RM25,000. 

Mengapa perkara ini berlaku ketika imej pasukan kebangsaan sedang meningkat di persada antarabangsa selepas tercalar sejak sekian lama. 

Kejayaan pasukan Harimau Malaya menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 dan memenangi pingat emas di Temasya Sukan Sea Laos 2009 membuktikan bola sepak negara makin maju dan peminat kembali memenuhi stadium bagi memberi sokongan kepada pasukan yang bertanding. 

Namun, jika pihak berkenaan lambat bertindak tidak mustahil pemikiran rakyat terhadap sukan popular di Malaysia sedikit terhakis kerana berasakan diri mereka tertipu dengan keputusan perlawanan yang diatur sebelum perlawanan bermula. 

Ada pihak yang mendakwa, terdapat sebilangan pemain mengambil jalan pintas dengan menerima rasuah kerana lambat menerima bayaran gaji dan bayaran tidak mencukupi untuk setiap bulan. 

Sesungguhnya, gejala rasuah yang dikatakan kembali menular dalam kancah bola sepak tempatan, tidak boleh dipandang remeh serta perlu dibanteras segera dengan kerjasama pihak (FAM, SPRM dan PDRM). 

Bagaimanapun, meja sukan Sinar Harian berharap perkara jijik yang heboh digembar-gemburkan dalam laporan media sebelum ini tidak berlaku kerana ia boleh ‘menjahanamkan’ industri sukan bola sepak negara itu sendiri.

Merah Kuning tekad bangkit

KEBANGKITAN Selangor selepas tiga kekalahan berturut-turut membolehkan skuad Merah Kuning itu terus bersaing merebut kejuaraan Liga Super musim ini yang berbaki tiga perlawanan lagi.


Saingan Liga Super kini terarah kepada tiga penjuru dengan Selangor di bawah bimbingan ketua jurulatih K Devan berada di tempat ketiga dengan mengumpul 45 mata, ketinggalan dua mata kepada dua seteru dari pantai timur, Kelantan dan Terengganu yang dibezakan dengan jaringan gol.

Menurut kapten Selangor, Mohd Amri Yahyah kemenangan itu hadir tepat pada masanya bagi membangkitkan kembali moral dan tahap keyakinan rakan sepasukannya yang lain.




“Hasrat kami untuk mencatatkan kemenangan selepas tiga kekalahan akhirnya tercapai dan lebih menggembirakan ia hadir di gelanggang sendiri (Stadium Shah Alam) sekali gus menunjukkan kami masih tidak berputus asa mempertahankan gelaran liga.

“Semua rakan sepasukan menunjukkan komitmen yang tinggi termasuk beberapa pemain yang tidak mencapai tahap kecergasan yang sepenuhnya seperti Mohd Rudie Ramli, Mohd Fadzli Saari dan Mohd Hardi Jaafar namun tetap turun beraksi untuk merealisasikan impian meraih tiga mata,” katanya ketika dihubungi semalam.


Selangor menewaskan Negeri Sembilan 2-0 pada perlawanan ke-23 Liga Super menerusi dua jaringan separuh masa kedua sumbangan Mohd Rudie dan Mohd Fadzli. Kapten Selangor berusia 30 tahun juga berharap mereka akan dapat mengutip mata penuh apabila mengharungi baki tiga perlawanan terakhir selepas liga bersambung semula 6 Jun ini menentang Perlis, Felda United (14 Jun) dan Perak (6 Julai).





“Kami memang mengharapkan tiada akan tercicir sebarang mata lagi manakala Kelantan dan Terengganu mungkin akan tercicir mata kerana bertemu sesama sendiri serta perlu menghadapi lawan yang lebih sukar berbanding kami,” katanya.

Selangor kini memburu gelaran hatrik Liga Super musim ini selepas terlepas Piala Sultan Ahmad Shah dan Piala FA.

Penyu hadapi laluan berliku

SKUAD Terengganu memilih laluan berliku untuk mencatat sejarah buat kali pertama menjulang Piala FA selepas tunduk 0-1 kepada Kedah di laman sendiri, malam kelmarin.
Lebih malang, rekod tanpa kalah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah sejak awal musim lalu lebur menyaksikan Kedah pulang dengan senyuman selepas mengutip tiga mata penuh.

Pada perlawanan itu, Terengganu sepatutnya menyalahkan diri sendiri kerana tidak beraksi dengan baik di laman sendiri walaupun mendapat suntikan semangat layak ke pentas final Piala FA.


Pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim yang jelas kecewa tidak menganggap kekalahan itu menutup peluang Terengganu untuk muncul juara liga, sebaliknya menguatkan lagi semangat pemain untuk mencipta sejarah.

Selain itu, bekas pengendali Kelab Persipura, Indonesia, itu tidak berasa risau dengan keputusan itu sebaliknya yakin anak buahnya bakal bangkit dalam aksi seterusnya.


“Memang kekalahan ini sedikit sebanyak menyulitkan pasukan tetapi saya masih optimis Terengganu mampu menggugat dua pencabar lain untuk menjuarai liga kerana baki saingan masih ada tiga perlawanan menentang Kelantan, T-Team dan terakhir Felda United,” katanya.





Bagaimanapun Irfan Bakti mengakui kekalahan itu berpunca daripada prestasi pemain yang sedikit longlai berbanding perlawanan sebelum ini.

“Walaupun pemain keletihan, mereka harus sentiasa fokus kepada perlawanan kerana sebarang kesilapan akan merugikan pasukan. Apapun saya harap pemain akan bangkit kembali pada pelawanan berikutnya selepas ini,” katanya.

Karathu belum puas

KETUA jurulatih, Datuk M Karathu, mengotakan janjinya untuk mengembalikan semangat The Red Warriors selepas berjaya menewaskan Pahang 1-0 di Stadium Sultan Mohamad VI, Kota Bharu, kelmarin.


Bagaimanapun, beliau masih belum berpuas hati dengan kemenangan yang dicapai itu kerana tahu anak didiknya belum mempamerkan aksi terbaik.

Katanya, Kelantan mempunyai banyak peluang menjaringkan gol namun kelemahan jentera serangan menyebabkan The Red Warrior ketandusan jaringan.




“Saya lega kita menang namun ia tetap tidak memadai kerana pemain tidak mempamerkan aksi pada tahap sebenar dan saya yakin mereka boleh melakukan lebih hebat untuk kejayaan pasukan.

Karathu menambah, walaupun Kelantan kembali menguasai takhta liga, beliau masih mengharapkan pemainnya mempersembahkan aksi konsisten selain tidak melakukan kesilapan dalam baki tiga perlawanan lagi.


Ini kerana kedudukannya kini masih lagi belum selesa kerana Terengganu masih lagi menjadi pencabar terdekat dengan berkongsi mata.




PAFA tamatkan kontrak Razali lebih awal

PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) menamatkan kontrak pemain bermasalah, Razali Umar Kandasamy mulai Rabu ini (1 Jun) kerana masih mengulangi perbuatan ponteng latihan buat kali ketiga musim ini. 

Presidennya, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, keputusan itu diambil dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan PAFA Jumaat lalu.

“Razali boleh lupakan saja musim bola sepak 2011. PAFA mengambil keputusan menamatkan kontraknya. Keputusan dibuat selepas mempertimbang segala aspek termasuk betapa banyak peluang diberikan kepada Razali selama ini.


“Banyak janji dan pengakuan diberikannya tetapi tiada perubahan, malah dia masih mengulangi perbuatan yang sama. Ini adalah tindakan wajar yang difikirkan semasak-masaknya supaya tidak merosakkan pasukan. 

“Ia bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya mengikut prosedur dan ketetapan dalam kontrak,” kata Zainol. 

Begitupun, katanya, PAFA akan membayar gaji bulan Mei berdasarkan potongan kedatangan ketika latihan pemain itu yang melebihi 50 peratus walaupun mula ponteng selepas perlawanan dengan Pahang di Ipoh, 6 Mei lalu. 

Sementara itu, Presiden PAFA itu lega dengan kejayaan 2-0 Perak ke atas T-Team kelmarin, sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga keempat Liga Super, mengatasi Kedah dengan kelebihan jaringan walaupun masing-masing terikat 38 mata. 

Irfan sedih rekod laman sendiri berakhir

TIADA yang lebih pedih buat Terengganu apabila tewas buat kali pertama di depan penyokong sendiri dan kehilangan cengkaman di tangga teratas Liga Super apabila tewas kepada Kedah 0-1, kelmarin. 

Kegagalan anak buah Irfan Bakti Abu Salim untuk mempamerkan persembahan mantap seperti beberapa perlawanan lalu menjadi punca kekalahan tipis kepada pelawat yang dibimbing Wan Jamak Wan Hassan.

Sebaik wisel penamat, terpancar wajah kehairanan Irfan Bakti yang melihat anak buahnya bermain di bawah keupayaan sebenar sehingga lawan meleburkan rekod tanpa kalah Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.


“Saya harian dan tidak dapat memberi jawapan mengenai perlawanan malam kelmarin kerana pemain seperti hilang punca dan banyak memberikan ruang kepada lawan mengatur serangan,” katanya yang turut melihat barisan depannya mensia-siakan beberapa peluang untuk bangkit. 

“Memang sukar untuk menewaskan Kedah, sama ada di tempat sendiri mahupun di tempat lawan tetapi saya terkilan kerana saya menggunakan barisan pemain yang sama ketika menewaskan Pahang,” katanya. 

Sementara itu, Wan Jamak cukup ceria beroleh tiga mata untuk dibawa pulang sekalipun tidak dapat menurunkan kesebelasan utama lantaran enam pemain yang masih cedera. 

“Saya memuji kesungguhan pemain terutama Baddrol (Bakhtiar) yang dapat menjaringkan gol. Walaupun ini kemenangan tipis, tiga mata ke atas Terengganu cukup bermakna bagi Kedah,” katanya. 

Kelantan ‘hutang budi’ Kedah

Red Warriors hanya menang tipis 1-0 tewaskan Pahang di Kota Bharu

KELANTAN berterima kasih kepada Kedah yang menundukkan Terengganu (1-0), sekali gus membawa The Red Warriors kembali ke persada Liga Super selepas turut menang tipis ke atas Pahang 1-0 di Stadium Sultan Mohamad ke-IV, Kota Bharu, kelmarin. 

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu berkata, biarpun kemenangan memihak Kelantan, beliau masih belum berpuas hati kerana prestasi permainan yang ditunjukkan anak buahnya tidak mencapai tahap diingininya.

Sekalipun mencipta banyak peluang jaringan, kelemahan pada jentera serangan nyata memberikan kesan hinggakan sukar memecah benteng pelawat yang dibimbing Dollah Salleh.


“Pemain gagal mempamerkan aksi yang saya mahukan dan saya yakin jika rentak sebenar ditunjukkan, kami mampu menjaringkan lebih daripada satu gol,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Mohamad ke-IV itu. 

Kelantan memperoleh gol tunggal menerusi kapten, Mohd Badri Radzi pada minit kelapan tetapi jaringan awal itu gagal menyuntik semangat rakan sepasukan untuk menambah jaringan termasuk sepakan penalti Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-24 yang ditepis penjaga gol Pahang, Mohd Rosfaizol. 

Karathu berkata, dia sekadar lega sebaik permainan berakhir dan akur masih wujud kelemahan dalam pasukan itu yang harus diperbaiki segera untuk mengutip mata maksimum pada baki tiga perlawanan liga. 

“Kami bernasib baik kerana mendapat gol pada awal permainan dan saya lega lawan gagal mencari gol penyamaan tetapi jika tidak memperbaiki kelemahan yang masih ada, Kelantan mungkin kehilangan mata selepas ini.” 

Irfan enggan angkat 'bendera putih'

KUALA TERENGGANU - Terengganu tidak lagi boleh menganggap gelanggang sendiri kebal setelah kemenangan demi kemenangan yang dicatat sebelum ini tercalar selepas tumpas 0-1 kepada Kedah dalam aksi Liga Super, kelmarin.

Namun, di sebalik kesedihan itu, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti masih boleh tersenyum dan enggan mengangkat bendera putih terlalu awal.

Menurut Irfan, dia enggan mengalah kerana pasukannya masih berpeluang menjuarai liga memandangkan ada tiga lagi baki perlawanan musim ini.

"Saya akui pemain-pemain saya tidak bermain secara agresif dan terlalu memberi peluang kepada Kedah pada perlawanan tadi (kelmarin).

"Bagaimanapun, saya percaya pemain saya mampu bangkit selepas ini," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan kelmarin.

Dalam perlawanan itu, tuan rumah gagal meneruskan rentak cemerlang apabila jaringan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-42 cukup untuk meleraikan genggaman pendahulu buat Penyu.

Biarpun cuba bangkit pada babak kedua dengan asakan yang bertali-arus ke kubu pelawat, namun kekentalan benteng Kedah yang diterajui kapten, Mohd. Fauzee Nan berjaya menafikan hasrat tuan rumah untuk sekurang-kurangnya memburu gol penyamaan.

Kekalahan itu juga menyaksikan takhta liga kembali menjadi milik Kelantan yang menundukkan Pahang 1-0 di Kota Bharu dalam satu lagi perlawanan.

Dalam pada itu, Irfan berkata, tidak timbul istilah terlalu yakin sebagai punca kekalahan kepada Kedah dalam perlawanan itu.

"Pemain saya cuma tidak agresif, itu saja. Bagaimanapun, Insya-Allah kita akan berusaha dapatkan mata penuh dalam baki tiga perlawanan lagi," katanya.

Jangan beban Safee, Hadi

PETALING JAYA - Jurulatih negara, K. Rajagobal enggan menaruh harapan tinggi kepada penyerang utama negara, Safee Sali mahupun penjaring terbanyak Liga Super, Abdul Hadi Yahya untuk menyerlah pada perlawanan persahabatan menentang Hong Kong, Jumaat ini.

Katanya, mereka tidak perlu didesak melakukan sesuatu yang berlebihan selagi keserasian dan kriteria pasukan yang mahu dilihatnya di kalangan 24 orang yang dipanggil dalam tempoh latihan lima hari, belum dicapai.

"Saya tidak mahu menekan mereka dalam tempoh sesingkat ini. Kita hanya perlu ada kriteria dan keserasian tertentu bagi sebuah perlawanan persahabatan antarabangsa walaupun ia masih tidak mencukupi," katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Safee yang mencipta nama dengan Pelita Jaya setelah menyerlah sebagai penjaring terbanyak dan membantu Malaysia menjulang Piala Suzuki AFF 2010, hanya akan menyertai sesi latihan mulai hari ini kerana baru diberi pelepasan kelab Indonesia itu, semalam.

Dua lagi pemain, Baddrol Bakhtiar dan Amar Rohidan turut hanya akan mula melapor diri hari ini kerana masih dalam perjalanan selepas membantu Kedah menewaskan Terengganu 1-0 pada perlawanan Liga Super di Kuala Terengganu, kelmarin.

Namun, tujuh pemain terpaksa dilepaskan bagi persediaan bawah 22 tahun menghadapi Kelayakan Olimpik 2012 di bawah bimbingan Ong Kim Swee iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Ahmad Fakri Saarani, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Mahalli Jasuli, K. Gurusamy dan Izzaq Faris Ramlan.

Rajagobal turut menolak untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu perlawanan persahabatan dengan mana-mana pasukan tempatan sebagai medan pemilihan 22 pemain negara sebelum mereka berlepas ke Hong Kong, Rabu ini.

"Menentang Hong Kong juga dapat membantu saya mengenal pasti barisan pemain terbaik bagi misi yang lebih penting, pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan secara timbal balik pada 29 Jun dan 3 Julai ini," katanya.

Anak buah Rajagobal sudah melalui dua persahabatan sejak bergelar juara Piala Suzuki AFF dengan menewaskan Hong Kong 2-0 dan diikat 1-1 oleh kelab Perancis yang beraksi dalam Liga Singapura, Etoile, masing-masing pada 9 Februari dan 26 Mac lalu.

SKUAD NEGARA

Sharbinee Allawee Ramli, Nasril Nourdin, Syed Adney Syed Hussein (penjaga gol), Aidil Zafuan Radzak, Asraruddin Putra Omar, Azmi Muslim, Nasriq Baharom, Hisyamudin Shaari, Helmi Remeli, Shahrom Kalam, Farisham Ismail (pertahanan), Safiq Rahim, Amar Rohidan, Azidan Sarudin, S. Kunanlan, Ashari Samsudin, S. Chanturu, Amirulhadi Zainal, Baddrol Bakhtiar, Ismail Faruqi Ashari (tengah), Norshahrul Idlan Talaha, Safee Sali, Shahrizal Saad, Abdul Hadi Yahaya (penyerang).

Sunday, May 29, 2011

MSL tak wajar kurang pasukan

Dibuat secara terlalu drastik kerana saingan liga sedang berjalan 

KETUA jurulatih Kuala Lumpur, Mohamed Razip Ismail menyifatkan cadangan Liga Super Malaysia (MSL) untuk mengurangkan pasukan bertanding dalam Liga Super musim depan sebagai kurang tepat dan akan memberi lebih tekanan kepada setiap pasukan bertanding.

Katanya, dia menganggap keputusan mengurangkan pasukan dalam Liga Super kepada 12 daripada jumlah asal 14 musim ini tidak kena pada masanya. “Keputusan untuk mengurangkan jumlah pasukan dalam saingan Liga Super musim depan dibuat secara terlalu drastik kerana saingan liga kini sedang berjalan dan hampir ke penghujungnya.


“Semua pasukan di Liga Perdana sudah berjuang habis-habisan untuk dinaikkan ke saingan Liga Super musim depan malah pasukan di kelompok bawah carta Liga Super juga bertungkus lumus untuk terus kekal. 

“Saya rasa bila format musim depan berubah pasukan yang akan dinaikkan ke Liga Super mesti tidak akan berpuas hati dan mungkin akan terus mematikan semangat juang mereka,” katanya. 

Akhbar sebelum ini melaporkan MSL mencadangkan untuk mengurangkan jumlah pasukan dalam Liga Super untuk saingan musim depan kepada 12 berbanding 14 musim ini. 
Cadangan itu menimbulkan kemungkinan berlaku play-off antara pasukan tertentu untuk layak beraksi di Liga Super sehingga menimbulkan kemarahan di kalangan penyokong PKNS serta Sarawak yang sudah dinobatkan sebagai juara dan naib juara Liga Perdana. 

Razip berkata, perkara berkenaan sepatutnya dimaklumkan lebih awal dan bukannya dibuat ketika pertengahan saingan liga yang sedang berjalan. 

“Kuala Lumpur juga kini berada dalam keadaan terdesak untuk mengekalkan kedudukan di Liga Super namun kami akan cuba melakukan yang terbaik dalam baki empat perlawanan untuk berada sekurang-kurangnya di kedudukan 10 terbaik,” katanya. 

Piya wira Red Warriors

Gol jaringannya bantu Kelantan rampas persada liga, Terengganu gigit jari tewas 0-1 di halaman sendiri 

KELANTAN kembali mendahului persada Liga Super dengan kelebihan jaringan selepas mengutip mata penuh mengatasi Pahang 1-0, sementara pendahulu sebelumnya, Terengganu tersentak apabila tewas 0-1 kepada Kedah di halaman sendiri, malam tadi.

Kedua-dua pasukan mengumpul 47 mata tetapi skuad kendalian Datuk M Karathu merampas puncak liga atas kelebihan jaringan - 46 gol berbanding anak buah Irfan Bakti Abu Salim yang hanya meledak 45 gol. Perbezaan jaringan dan bolos kedua-dua pasukan turut terikat pada 26 gol.
Jaringan ketua pasukan Kelantan, Mohd Badri Radzi pada minit kelapan di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, sudah cukup untuk membantu tuan rumah merampas kembali kedudukan teratas yang terlepas ke tangan Terengganu, Rabu lalu. 

Norshahrul Idlan Talaha berpeluang menambah jaringan pada minit ke-24 apabila pengadil menganugerahkan sepakan penalti selepas Nurul Azwan Roya dijatuhkan dalam kotak penalti, tetapi pemain dengan jolokan Mat Yo itu gagal menyempurnakan sepakan. 

  • Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, ketumpulan barisan serangan tuan rumah menyaksikan harapan untuk mengukuhkan kedudukan di persada liga tidak kesampaian apabila tewas tipis kepada Kedah menerusi jaringan tunggal pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-43 - membolehkan skuad bimbingan Wan Jamak Hassan pulang ceria dengan tiga mata. 

  • Di Stadium Shah Alam, Selangor kembali mencatat kemenangan menundukkan Negeri Sembilan 2-0 hasil jaringan Fadzli Shaari (m-50) dan Rudie Ramli pada minit terakhir permainan. 



  • Di Stadium Perak, tuan rumah mengukuhkan kedudukan di tangga keempat liga selepas menewaskan T-Team 2-0. Mohd Syazwan Roslan meletak tuan rumah di depan minit ke-45 dan sekali lagi menembusi gawang pelawat pada minit ke-87. 

  • Di Stadium Utama Negeri, Kangar, FELDA United menambah derita buat pasukan tercorot liga, Perlis apabila menang tipis 1-0 hasil jaringan Mohd Lot Abu Hassan tiga minit sebaik babak kedua bermula. 

  • Di Stadium MP Selayang, Harimau Muda A kendalian jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee meneruskan rentak cemerlang sebelum rehat perlawanan antarabangsa menewaskan Sabah 2-0 hasil jaringan K Gurusamy pada setiap babak permainan manakala di Stadium KLFA Cheras, Kuala Lumpur tumpas 1-2 kepada Johor FC
  • Kelantan rampas kedudukan tapi belum selamat

    KUALA LUMPUR - Kelantan berjaya merampas kedudukan pendahulu Liga Super 2011 apabila berjaya mencatat kemenangan 1-0 ke atas Pahang manakala Terengganu gagal meneruskan rentak cemerlang turun ke tangga kedua apabila tewas 0-1 di tempat sendiri, semalam.

    Bagaimanapun saingan sengit terus berlaku di antara tiga pasukan Kelantan, Terengganu dan Selangor tatkala saingan liga berbaki tiga perlawanan.

    Di Stadium Sultan Muhammed IV, ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badri Mohd. Radzi muncul wira selepas menjaringkan gol tunggal pada minit kelapan seterusnya membantu pasukannya menerajui liga atas kelebihan jaringan gol walaupun berkongsi 47 mata bersama Terengganu.

    Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu gagal menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila tewas 0-1 kepada Kedah yang memperolehi jaringan melalui rembatan dari luar petak penalti oleh Baddrol Bakhtiar pada minit ke-42.

    Di Stadium Shah Alam, Selangor kembali mendapat semula rentak kemenangan apabila mengalahkan Negeri Sembilan 2-0 hasil jaringan Fadzli Shaari pada minit ke-48 dan Rudie Ramli pada minit akhir perlawanan.

    Di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, pasukan pelawat tidak mempunyai masalah untuk menumbangkan Kuala Lumpur 2-1 dengan Azizan Baba berjaya menyumbat dua gol pada minit kelapan dan 35 manakala gol sagu hati tuan rumah disumbangkan oleh Khairul Anuar Shafie enam minit sebelum perlawanan tamat.

    Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan bimbingan Norizan Bakar berjaya meraih tiga mata apabila mengalahkan T-Team 2-0 hasil jaringan Mohd. Syazwan Mohd. Roslan minit 45 dan Mohd. Shazuan Mohd. Ashraf Mathews minit 87.
    Perlawanan lain menyaksikan Perlis tewas 0-1 kepada Felda United, manakala Harimau Muda berjaya menumbangkan Sabah 2-0.

    Saturday, May 28, 2011

    Liga Super 2011 - 29 Mei 2011 *Game 23*


    28 Mei 2011
    Stadium Sultan Mohd Ke IV
    KELANTAN
    1
    0
    PAHANG
    Mohd Badri Radzi



    28 Mei 2011
    Stadium Shah Alam
    SELANGOR
    2
    0
    NEGERI SEMBILAN
    Fadzli Shaari, Rudie Ramli


    28 Mei 2011
    Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah
    TERENGGANU
    0
    1
    KEDAH

    Baddrol Bakhtiar

    28 Mei 2011
    Stadium Perak Ipoh
    PERAK
    2
    0
    T-TEAM
    Syazwan Mohd Roslan, Shazuan Asyraf


    28 Mei 2011
    Stadium Bolasepak Cheras
    KUALA LUMPUR
    1
    2
    JOHOR FC
    Khairul Anuar Shafie
    Azizan Baba (2)

    28 Mei 2011
    Stadium MP Selayang
    HARIMAU MUDA A
    2
    0
    SABAH
    K.Gurusamy (2)


    28 Mei 2011
    Stadium Utama Kangar
    PERLIS
    0
    1
    FELDA UNITED FC

    Mohd Lot Abu Hassan

    Hadi, Manaf tekad julang Terengganu

    PENJARING terbanyak Terengganu, Abdul Hadi Yahya berazam memberikan persembahan terbaik untuk membantu pasukannya menewaskan Kedah pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini, sekali gus memastikan kedudukan skuad Penyu di tangga teratas Liga Super tidak tergugat.
    “Saya sudah sedia menggalas tugas sebagai penggempur dan yakin mampu menjaringkan gol bagi membantu pasukan mencapai kemenangan,” katanya.

    Abdul Hadi berkata, sebagai penyerang dia sentiasa berusaha memastikan setiap peluang diperoleh di depan gawang lawan mampu diterjemahkan sebagai jaringan.


    Dia juga mengaku cukup serasi bergandingan bersama Manaf Mamat di barisan serangan dan memahami corak permainan masing-masing.

    “Saya harap kami dapat membolosi gawang lawan seberapa banyak yang boleh.


    “Yang penting seluruh pasukan berusaha bersungguh-sungguh memastikan matlamat memburu kemenangan tercapai.



    “Saya sudah menjaringkan 15 gol liga dan mahu menambah koleksi jaringan supaya menjadi penjaring terbanyak musim ini,” katanya.

    Sementara itu, Manaf yang sudah menjaringkan 10 gol turut bertekad menghasilkan jaringan bagi membantu pasukannya meraih kemenangan.


    “Sebagai pemain barisan serangan, saya akan cuba sedaya upaya membolosi gawang lawan,” katanya.

    Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim mahu anak buahnya mempamerkan persembahan terbaik supaya matlamat mengutip tiga mata penuh tercapai.


    “Saya yakin pemain bertambah semangat selepas mencapai kemenangan besar ke atas Pahang dan mereka mampu mengulangi pencapaian itu dalam pertemuan dengan Kedah,” katanya.

    The Red Warriors tetap hormat penampilan Pahang

    KELANTAN yang akan melayan kunjungan Pahang, malam ini tetap menghormati lawan walaupun pasukan bawah bimbingan Dollah Salleh itu dibelasah Terengganu, 5-0, pada perlawanan Rabu lalu. 

    Barisan The Red Warriors itu perlu menang di stadium keramatnya, Sultan Muhammad Ke-IV bagi memulihkan kembali maruah tercalar di hadapan penonton sendiri selepas diaibkan T-Team, yang menang tipis, 2-1.

    Rekod menunjukkan Kelantan tewas 0-2 kepada Pahang pada pusingan pertama Liga Super di gelanggang lawan dan malam ini tiada lagi istilah kalah dalam kamus Kelantan bagi memastikan tidak terus tergelincir sekali gus meranapkan harapan menguasai takhta liga.


    Pemain muda Kelantan, Izuan Salahuddin, yang kini sudah mendapat kepercayaan ketua jurulatih, Datuk M Karathu, yakin Kelantan mampu mencipta kemenangan selepas mendapat suntikan baru akibat tewas, Rabu lalu. 

    “Saya akui masih lagi baru dalam pasukan Kelantan, namun tuah tidak akan datang bergolek begitu saja dan akan terus berusaha membaiki kelemahan diri dengan memberi kemenangan kepada Kelantan, esok (malam ini). 

    “Misi malam ini sudah tentu mengutip tiga mata untuk terus berada dalam kelompok teratas dan saya akan buktikan Kelantan tetap pasukan harus disegani,” kata pemain skuad Piala Presiden Kelantan itu. 

    Dia turut mengharapkan rakan sepasukan lebih berpengalaman seperti Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo mampu memberi semangat kepada pemain lain dengan menjaringkan gol pertama Kelantan. 

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...