Tuesday, May 3, 2011

Azraai resah lapan tonggak skuad NS cedera

NEGERI Sembilan yang menanti kunjungan Perak dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi malam ini, berdepan tugas berat apabila tidak dapat menurunkan barisan terbaik susulan beberapa kecederaan pemain. 

Ketua jurulatih, Mohd Azraai Khor Abdullah yang mengesahkan perkembangan itu berkata, sekurang-kurangnya lapan pemain tidak dapat diturunkan termasuk perancang tengah Idris Karim dan dua penyerang utama, Hairuddin Omar dan Ahmad Fakhri Saarani, selain Ahmad Aminuddin Shaharuddin, Tengku Qaiyum Ubadilllah dan Abdul Halim Zainal.

Sehubungan itu, dia terpaksa menyandarkan harapan kepada penyerang muda Mohd Firdaus Azizul, Mohd Shaffik Abd Rahman dan dua pemain skuad Piala Presiden, Mohd Fiqri Adwan dan Mohd Khairul Ridzuan, untuk menerajui barisan depan.“Persiapan bertemu Perak malam esok (malam ini) terjejas kerana lapan pemain utama tidak dapat beraksi dan saya terpaksa menggunakan khidmat pemain muda skuad Piala Presiden. 

“Kehadiran Asmawi Hassan dalam pasukan juga diragui kerana dia belum mencapai tahap kecergasan tinggi tetapi dia masih berada dalam perancangan saya. 

“Apa yang saya harapkan ialah pemain senior seperti Shukor Adan, Shahurain Abu Samah dan S Kunalan dapat memainkan peranan lebih berkesan untuk menggerakkan permainan pasukan dan memastikan kelebihan di halaman sendiri tidak disia-siakan,” katanya semalam. 

Menurut Azraai, dia tidak mahu pasukan yang mula dibimbing 22 Mac lalu, dilabelkan sebagai pakar seri selepas mengutip satu mata hasil pertemuan dengan Harimau Muda A dan terbaru FELDA United FC. 
“Saya berharap pemain tidak merendah diri atau terlalu menghormati lawan, sebaliknya perlu fokus sepanjang 90 minit permainan dan berusaha mencipta peluang diterjemah kepada jaringan. Kelebihan tempat sendiri ini perlu dimanfaatkan dengan tiga mata penuh,” katanya. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...