Tuesday, May 3, 2011

PKNS terus terajui persada Liga Perdana

PKNS Selangor melebarkan pungutan mata di persada Liga Perdana apabila membelasah USM 4-0 dalam perlawanan di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi. 

Keputusan itu membolehkan PKNS kukuh dengan 39 mata, tujuh mata di depan pencabar terdekat Sarawak dan kekal tanpa kalah selepas 15 perlawanan.

PKNS mendahului 2-0 pada babak pertama sebelum menambah dua lagi gol pada babak kedua. Di Stadium Tan Sri Hassan Yunus Larkin, Johor kekal di tangga ketiga meskipun sekadar seri 2-2 dengan Polis.
Polis terlebih dulu membuka jaringan pada minit ke-12 menerusi rembatan Fazuan Abdullah di dalam kotak penalti, namun tuan rumah menyamakan jaringan 1-1 pada minit ke-22 hasil sepakan penalti Aidib Azimuddin Ab Latif. 

Pada babak kedua, Polis dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-56 dan disempurnakan Mohd Arif Aminuddin tetapi Johor meraih sepakan penalti kedua dan Norizam Salaman mengikat kedudukan 2-2. 

Di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang gagal memanfaatkan aksi gelanggang sendiri apabila tewas 1-4 kepada MP Muar sementara Tentera menewaskan SDM Navy 2-1 di Stadium Selayang dan Sarawak menang 1-0 ke atas Pos Malaysia di Stadium Negeri. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...