Wednesday, May 4, 2011

Johor FC hampa di laman sendiri

Red Warriors pulang ceria berbekal tiga mata, kekal pendahulu Liga Super

HAJAT Johor FC membuat kejutan dan mengutip mata penuh di halaman sendiri tidak kesampaian apabila terpaksa akur sebelum tewas 0-1 kepada Kelantan dalam saingan Liga Super di Stadium JCorp, Pasir Gudang, malam tadi. 

Beraksi di padang yang licin tidak menghalang skuad Red Warriors mengatur serangan malah hampir mencipta gol seawal minit ketiga selepas bola sepakan lintang Mohd Daudsu Jamaluddin ditanduk pemain kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha namun sipi dari gawang gol.

Tuan rumah turut memiliki peluang terbaik pada minit kelapan menerusi gerakan satu dua antara Fandi Ahmad dan Shahrizal Saad namun Shahrizal yang hanya berdepan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat menyepak bola tepat ke arah penjaga gol kebangsaan itu.Kelantan yang begitu dahagakan kemenangan bertali arus mengasak kubu Johor FC malah pada minit ke-28 rembatan deras menerusi sepakan percuma Daniel Fadzly Abdullah dari jarak 25 meter ditampan penjaga gol tuan rumah, Mohd Anis Faron 

Aksi rancak kedua-dua pasukan terhenti pada minit ke-32 selepas segelintir penyokong pelawat bertindak membaling objek ke arah penjaga garisan memaksa pengadil perlawanan, Zamzaidi Katimin menghentikan perlawanan selama lima minit. 

Namun suasana tegang di luar padang tidak menghalang Kelantan memecah kebuntuan gol pada minit terakhir babak pertama selepas kapten Mohd Badhri Mohd Radzi yang tidak dikawal melonjak tinggi untuk menanduk bola hasil sepakan sudut Daniel Fadzly menewaskan Mohd Anis. 

Pada aksi babak kedua, Johor FC mula mengorak serangan untuk mencari gol penyamaan namun ketumpulan barisan serangan yang diterajui Shahrizal cukup menghampakan selepas gagal menterjemah peluang dengan jaringan. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...