Wednesday, May 4, 2011

Yunus kembali latih T-Team

KUALA TERENGGANU - Ketika ramai yang menyangka Yunus Alif mungkin mengucapkan selamat tinggal kepada T-Team sebelum musim berakhir, semalam dia muncul dan menepis sangkaan itu.

Dia kembali di padang dan membimbing semula T-Team setelah dilaporkan direhat sementara minggu lalu ketika pasukan kelab melalui keadaan tidak menentu.

Yunus menjelaskan ia sepanjang minggu lalu, ia tempoh baginya berehat dan pada masa yang sama memikirkan bagaimana untuk mengubah nasib pasukan bimbingannya itu.

Katanya, sepanjang tempoh seminggu itu, dia banyak bermuhasabah diri dan sentiasa memikirkan tentang untung nasib pasukannya selepas ini.

"Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya dan saya bersyukur dapat kembali melatih pasukan ini," katanya ketika ditemui pemberita semasa sesi latihan T-Team di padang Kompleks Sukan Gong Badak di sini, semalam.

Spekulasi 'kehilangan' Yunus bermula apabila dia tidak kelihatan di bangku simpanan ketika T-Team melayan kunjungan pasukan Kenari di Kuala Terengganu pada 26 April lalu.

Sepanjang ketiadaan beliau, tugas selaku jurulatih sementara dipegang oleh penolongnya, Shafie Pak dan Yunus dilaporkan terkejut dengan langkah pengurusan merehatkan dalam keadaan yang boleh menjejaskan kewibawaannya.

Bagaimanapun, ketika ditemui semalam, Yunus membuat kenyataan sebaliknya bahawa beliau sendiri yang memohon cuti dengan alasan untuk berehat.

Dalam pada itu, Yunus menyifatkan kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang memberi tempoh semusim lagi kepada T-Team untuk memperbaiki mutu permainan mereka atau pasukan itu dibubarkan sebagai satu cabaran yang perlu diatasi.

"Saya cuma melakar corak permainan tapi pemain yang akan tentukan atas padang. Oleh itu, saya berharap mereka akan sahut cabaran ini dan berusaha tingkatkan permainan masing-masing," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...