KUALA LUMPUR - Ketua pasukan, Badri Radzi memastikan Kelantan kekal sebagai peneraju carta bola sepak Liga Super 2011 dengan gol tunggalnya pada minit ke-45 yang menewaskan Johor FC di Stadium JCorp, Pasir Gudang, semalam.
Tandukan tepatnya daripada sepakan sudut terus membawa Red Warriors mengatasi pencabar di tempat kedua, Selangor dengan kelebihan perbezaan gol, 37 berbanding 23 walaupun masing-masing terikat 36 mata.
Selangor pula menewaskan Kuala Lumpur 3-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur hasil jaringan Rudie Ramli pada minit ke-11 dan 90 dan sepakan bebas ketua pasukan negara, Safiq Rahim, dua minit selepas rehat.
Di tempat ketiga, Terengganu terus mengejar rapat Red Giants walaupun cuma dipisahkan satu mata dalam carta liga selepas mencipta kemenangan 3-1 ke atas Perlis di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Biarpun ketinggalan dengan gol pemain pelawat, Nik Shahrul Anizam Mohamad pada minit ke-17, tuan rumah bangkit tetap menggenggam tiga mata menerusi dua gol Abdul Manaf Mamat (54 dan 76) serta Ashari Samsudin (67).
Dua gol Hairuddin Omar selain satu daripada Khairul Ridzwan pula menyerlahkan kebangkitan Negeri Sembilan dengan menewaskan Perak 3-1 sekali gus menunda hajat pelawat untuk melonjak ke tangga keempat.
Kemenangan anak buah baru Azraai Khor Abdullah dengan gol minit ke-33, 55 dan 72 diStadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban ini turut membolehkan Si Rusa memperbaiki tiga kedudukan dari tangga ke-11.
Perak cuma beroleh gol tunggal sagu hatinya hasil jaringan penyerang kontroversi tetapi masih berbisa, Razali Umar Kandasamy pada masa kecederaan babak kedua hasil hantaran lintang dari sebelah kanan.
No comments:
Post a Comment