Tuesday, May 3, 2011

Kemerosotan Perak jadi tanda tanya

KEMAMPUAN Perak untuk menjadi pencabar utama dalam kancah Liga Super 2011 kini menjadi tanda tanya selepas hanya mengutip tiga mata daripada tiga perlawanan pusingan kedua, setakat ini.
Kecuali kemenangan 5-3 ke atas Kuala Lumpur, Perak mengalami kekalahan kepada Terengganu dan yang terbaru menyaksikan Kedah menamatkan rekod tanpa kalahnya di tempat sendiri Jumaat lalu.

Malah Seladang kini kelihatan tidak punyai sebarang ‘keistimewaan’ apabila diperkotak-katikkan oleh Terengganu dan Kedah berbanding pada pusingan pertama apabila mengharungi 10 perlawanan tanpa kalah.

Justeru jurulatih Seladang, Norizan Bakar perlu mencari rumusan mustajab bagi menghentikan kemerosotan anak buahnya terutama apabila turun melayani Negeri Sembilan di Paroi, malam ini.

Apa yang pasti pasukan Kejor Yob Kejor tidak mampu mencicir mata lagi jika ingin terus bersaing dalam perebutan gelaran musim ini kerana sudah ketinggalan tujuh mata kepada pendahulu Kelantan.


Berdasarkan persembahan setakat ini masalah utama Perak ialah aksi tidak konsisten barisan serangan seperti Akmal Rizal Ahmad Rakhli (gambar), Mohd Shafiq Jamal dan Razali Umar Kandasamy.

Akmal umpamanya sudah tidak menjaringkan gol selepas kali terakhir melakukannya ketika Seladang menundukkan Kelantan, 4-0 di Ipoh pada 12 April lalu. Peluang demi peluang dicipta Perak dalam setiap perlawanan tapi malangnya Akmal tidak menemui penyudahnya.

Begitupun tidak adil jika menyalahkan Akmal sahaja kerana pemain-pemain lain juga turut bertanggungjawab terhadap ketandusan jaringan pasukan Kejor Yob Kejor itu.



Seperti yang selalu ditekankan Cikgu Jan, bola sepak bukannya mengenai individu sebaliknya adalah kerjasama dan usaha 11 pemain di atas padang.

Apa yang pasti malam ini, peminat Perak mengharapkan perubahan nasib pasukan mereka ketika menentang anak buah Mohd Azraai Khor Abdullah yang juga sedang mencari rentak dalam usaha menebus maruah yang tercalar.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...