Tuesday, May 3, 2011

Penyu intai takhta

SKUAD Penyu yang gagal berada di persada liga selepas hanya seri dengan Selangor tidak rela tercicir mata lagi apabila melayan kunjungan pasukan tangga tercorot, Perlis di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Barisan bimbingan Irfan Bakti Abu Salim bukan saja mahu mengutip mata penuh pada pertemuan itu malah turut mengintai takhta liga sambil mengharapkan dua pasukan teratas, Kelantan dan Selangor gagal meraih mata penuh.

Kapten Terengganu, Marzuki Yusof berkata, selepas gagal mengutip mata penuh ketika pertemuan dengan Selangor di laman sendiri, Jumaat lalu, mereka kini kembali bersemangat memburu kemenangan dalam pertemuan menentang Perlis.


“Kami perlu menang bagi menyaingi dua penghuni teratas liga dan kekalahan hanya menyukarkan lagi hasrat memburu gelaran juara liga.

“Selain itu, kemenangan malam ini juga bakal memberi peluang kepada kami untuk berada di tangga teratas andainya Kelantan dan Selangor mencatat keputusan mengecewakan,” katanya.


Terengganu mengumpul 32 mata daripada 16 perlawanan, ketinggalan satu mata daripada pendahulu liga, Kelantan dan Selangor. Menurut Marzuki, walaupun matlamat itu tampak mudah digapai berikutan prestasi tidak konsisten Perlis namun mereka masih perlu berwaspada kerana skuad lawan menampilkan beberapa muka baru.


“Pada pusingan pertama liga di Perlis, Terengganu berjaya mengatasi lawan 3-1 namun pemain perlu waspada kerana Perlis tampil berbeza kali ini dengan kehadiran beberapa muka baru termasuk bekas penyerang kami, Tengku Adam Tengku Rosli.

“Namun saya yakin rakan seperjuangan mampu memperagakan aksi bertenaga untuk mengutip mata penuh,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...