SELEPAS berusaha keras untuk keluar daripada kelompok terbawah carta Liga Super, Negeri Sembilan akhirnya berjaya menemui sentuhan dalam usaha mempertahankan reputasi apabila menewaskan Perak, 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam kelmarin.
Sekalipun terpaksa menyandarkan harapan kepada pemain muda termasuk dari skuad Piala Presiden, persembahan dipamer nyata tidak mengecewakan apabila berjaya menenggelamkan reputasi skuad Kejor Yop Kejor.
Apapun kemenangan itu amat bermakna kerana ia dilakar di halaman sendiri sekali gus mampu mengembalikan semula keyakinan penyokong setia terhadap kekuatan skuad Hoben Jang Hoben yang terjejas teruk sebelum ini. Bagi ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohd Azraai Khor Abdullah (gambar), kemenangan itu sememangnya tidak disangka berikutan ramai pemain utama tidak beraksi kerana cedera dan terpaksa mempertaruhkan pemain muda termasuk di barisan depan dengan menggandingkan Mohd Shaffik Abdul Rahman dan Mohd Khairul Ridzwan yang kemudiannya diambil alih penyerang berpengalaman Hairuddin Omar.
“Saya terpaksa menyenaraikan 17 pemain bagi perlawanan malam ini (semalam) kerana ramai pemain kurang cergas, terpaksa menukar posisi beberapa pemain antaranya S Kunalan ke bahagian benteng kiri. Saya tidak menyangka mampu menang selesa.
“Tapi kejayaan ini sudah tentu hasil kesungguhan dan semangat tinggi setiap pemain dan saya amat berbangga dengan persembahan mereka hingga mampu menewaskan pasukan yang berada dalam kelompok teratas carta liga.
“Usaha kita mengetengahkan pemain muda nyata tidak sia-sia apabila mereka menggalas tanggungjawab dengan baik,” kata Azraai yang memuji persembahan gandingan Mohd Shaffik dan Khairul Ridwan, yang menjaringkan gol pertama diikuti Hairuddin yang masuk pada sebahagian babak, menjaringkan dua gol berikutnya.
Menurut bekas pengendali Kedah dan kebangsaan itu, kemenangan itu diharap menjadi detik kebangkitan Negeri Sembilan untuk terus memacu kejayaan dalam misi meletakkan kembali pasukan di landasan kemenangan dan berada pada posisi dihormati.
No comments:
Post a Comment