Lebih memburukkan keadaan apabila kedudukan Selangor selaku pendahulu liga kini diambil alih pesaing terdekat, Kelantan berdasarkan kelebihan jaringan selepas kedua-dua pasukan itu terikat 33 mata.
Namun ketua jurulatih Selangor, K Devan tetap bersemangat dan mahu barisan pemainnya terus memberikan fokus pada lapan perlawanan bulan ini bermula dengan aksi menentang Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras malam esok.
“Semua lapan perlawanan pada bulan ini sangat penting untuk menentukan peluang serta pasukan mana bakal bergelar juara.
“Jadi saya mengharapkan pemain dapat terus memberikan fokus dan tidak menghiraukan pasukan lain kerana paling penting adalah kita terus dapat mengutip mata,” katanya ketika ditemui selepas hadir menyaksikan pelancaran bas baru oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tan Sri Khalid Ibrahim yang bernilai kira-kira RM570,000. Selain itu, Devan yang juga pengurus pasukan berkata mereka turut cuba menyesuaikan diri dengan jadual liga yang padat iaitu satu perlawanan dalam tempoh tiga hari dengan membataskan corak latihan tertentu dengan fokus utama adalah pemain dapat kembali cergas sepenuhnya sebelum perlawanan berikutnya.
Walau bagaimanapun usaha The Red Giants untuk memulakan aksi bulan ini dengan kemenangan tampak sukar apabila sebahagian besar pemain utamanya mengalami kecederaan seperti Mohd Amirulhadi Zainal, Mohd Razman Roslan, Khairul Anuar Baharom, Mohd Fadzli Saari, Mohd Bunyamin Omar dan Mohd Fitri Shazwan Raduwan.
“Kita akan menilai tahap kecederaan mereka dalam tempoh yang ada dan menyenaraikan 18 pemain terbaik bagi memastikan tiga mata penuh dapat dikutip apabila turun menentang Kuala Lumpur,” katanya.
No comments:
Post a Comment