SHAH ALAM - Datuk Hamidin Amin menjangkakan terdapat ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mungkin mempunyai pandangan lain berhubung pengambilan pemain import dalam Liga Malaysia musim depan walaupun ia cuba disarankan Jawatankuasa Malaysia Super League (MSL), Khamis lalu.
Secara peribadi Naib Presiden FAM ini berkata, beliau sendiri tidak berhak mengulasnya apatah lagi dengan peranannya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM malah khuatir kalau-kalau sebarang kenyataannya boleh dilihat sebagai melampaui Exco yang dipengerusikan Presiden, Sultan Ahmad Shah.
"Kita perlu menunggu keputusan Exco dalam masa terdekat ini dan secara peribadi saya tidak boleh menyatakannya nanti saya seperti berat sebelah sebab saya juga pengerusi jawatankuasa berkenaan.
"Mungkin ada ahli Exco lain yang mempunyai pandangan lain untuk menambah baik liga supaya lebih meriah dan menarik kehadiran penonton. Bagi jawatankuasa dipengerusikan saya, kami sudah bersedia dan siap dengan banyak rumusan tertentu mengenai pemain import ini," katanya yang juga
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Sementara itu, Presiden FAS yang juga Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan enam pemain kelahiran negeri itu ditawarkan ganjaran dalam dua peringkat sebagai menghargai jasa mereka membantu Malaysia menjulang Piala Suzuki AFF, Disember lalu.
"Yang pertama, setiap seorang dihadiahkan RM10,000 dan kedua, sekiranya mereka mahu, kerajaan negeri akan membantu menjadikan wang tunai itu sebagai pendahuluan selain dengan diskaun untuk membeli rumah yang dimajukan oleh PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor)," katanya.
Mereka adalah Amirulhadi Zainal, Safiq Rahim, Razman Roslan, Amri Yahyah, Safee Sali dan Asraruddin Putra Omar.
No comments:
Post a Comment