Saturday, July 30, 2011

Pertahanan leka

KUALA LUMPUR - Kealpaan benteng pertahanan dan kegagalan barisan tengah berfungsi dengan berkesan menjadi punca Malaysia kecundang 4-6 secara agregat kepada Singapura pada perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia kelmarin.

Sambil memuji persembahan Khairul Fahmi Che Mat, jurulatih Selangor, K.Devan, berkata, gawang Malaysia kemungkinan besar dibolosi lebih daripada tiga gol, jika bukan kerana ketangkasan penjaga gol Harimau Malaya itu.

"Barisan pertahanan kita leka, sering kali apabila bola terlepas, reaksi mereka amat perlahan dan melihat saja bola.

"Mengambil contoh gol penyamaan yang diperolehi Singapura, ketika itu terdapat tiga pertahanan kita dalam kotak mengawal dua pemain Singapura, tetapi tindakan susulan mereka terhadap hantaran lambung dari jauh, adalah lambat menyebabkan mereka dihukum.

"Jika bukan kerana ketangkasan Khairul Fahmi, perjuangan kita telah pun tamat seawal separuh masa pertama," katanya ketika dihubungi semalam.

Devan juga beranggapan, ketiadaan tonggak perancang, Safiq Rahim mengemudi jentera tengah amat dirasai menyaksikan hantaran bola tidak menjadi, sekali gus gagal menguasai suku ketiga padang.

"Pergerakan S. Kunalan dan Amirul Hadi pada kedua-dua bahagian sayap juga terbatas, menutup sebarang ruang untuk mereka membuat hantaran lintang," jelasnya.

Bagaimanapun, Devan menyeru kepada peminat-peminat Harimau Malaya terus menyokong pasukan kesayangan mereka yang masih muda dengan usia puratanya baru mencecah 24 tahun.

"Komitmen mereka dalam perlawanan semalam (kelmarin), tidak harus dipersoalkan. Mereka memberikan yang terbaik. Jadi, berikanlah skuad ini masa, mereka akan menjadi matang.

"Bagi saya, skuad sedia ada perlu dikekalkan untuk menggalas cabaran akan datang," tambahnya.

Sementara itu, jurulatih Kedah, Wan Jamak Wan Hassan turut kecewa dengan penyingkiran Malaysia.

Bekas jurulatih kebangsaan itu berkata, kekerapan hilang bola kepada lawan merencatkan rentak skuad Harimau Malaya.

"Taktik menghantar bola lambung tidak menemui penyerang kita, sebaliknya memberi semula penguasaan bola kepada lawan.

"Harapan sepatutnya timbul selepas Safee Sali menjaringkan gol pertama, namun menerima padah kerana terlalu ghairah memburu jaringan kedua.

"Gol penyamaan Singapura menjadi titik perubahan, menjejaskan moral pasukan dengan baki masa semakin suntuk," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...