PENGURUS Pahang, Datuk Che Nasir Salleh (gambar) mahu skuadnya memanfaatkan peluang kedua yang dimiliki untuk layak beraksi dalam saingan Piala Malaysia, September ini.
Menurutnya, pertemuan dengan pasukan berstatus kelab, Sime Darby di Stadium Selayang malam esok, tidak harus dipersiakan.
“Peluang kedua yang dimiliki berikutan ketiadaan Harimau Muda A yang akan ke Slovakia diharap membuka mata pemain Pahang untuk beraksi dalam saingan berprestij itu. Jika mereka bersikap sambil lewa dan tidak serius, skuad itu akan terus dimalukan selepas ini.
“Sebagai pemain, mereka harus menunjukkan sikap positif terutama memastikan Pahang dapat beraksi dalam Piala Malaysia musim ini.
“Mereka yang diberi tanggungjawab untuk mengemudi pasukan perlu memiliki semangat juang tinggi biarpun prestasi permainan musim ini mengecewakan,” katanya.
Namun, beliau berkata, tiada yang mustahil memandangkan peluang untuk mengisi satu daripada 16 pasukan yang menyertai Piala Malaysia terbuka dan hanya pemain yang menjadi penentunya.
Menurut Che Nasir, berdasarkan prestasi Pahang, skuad itu mampu memberi cabaran tetapi segalanya serba tidak menjadi terutama kecederaan beberapa pemain utama.
“Saya akui jika dilihat kepada komitmen pemain ketika latihan, mereka mampu bersaing tetapi apabila dalam perlawanan sebenarnya, segala-galanya hilang begitu saja.
Pahang dan Sime Darby, masing-masing menduduki tangga ke-13 Liga Super dan kelima Liga Perdana akan berentap secara timbal balik bagi mengisi satu kekosongan yang ditinggalkan Harimau Muda A yang akan ke Slovakia sebagai persediaan akhir kelayakan Olimpik 2012.
Kedua-dua pasukan akan bertemu di Kuala Lumpur pada 19 Julai ini dan Kuantan (22 Julai).
No comments:
Post a Comment