KUALA LUMPUR - Jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal mendedahkan tayangan video perlawanan Liverpool menentang Guangdong Sunray Cave di Guangzhou, Rabu lalu, memberikannya ilham untuk merobek gawang Liverpool walaupun terpaksa akur dengan kehebatan lawan apabila kalah 6-3 di Bukit Jalil, semalam.
"Menerusi sesi video itu, saya meminta pemain supaya tunjukkan kesegeraan dalam memburu gol dan akhirnya kami berjaya beroleh tiga gol dan saya gembira dengan prestasi Safee Sali (yang baru pulih daripada kecederaan sejak menentang Taiwan dalam Kelayakan Piala Dunia, baru-baru ini.
"Inilah hasil yang saya mahukan (jika dibandingkan dengan perlawanan menentang Arsenal, Rabu lalu) dan penonton terhibur dengan persembahan kedua-dua pasukan.
"Saya juga kagum dengan sorakan sebahagian besar penonton yang tetap padu kepada pasukan kita biarpun menyarung jersi merah Liverpool kerana mereka sudah menyedari di atas padang itulah sebenarnya pemain dan 'saudara' mereka yang berjuang demi Malaysia," katanya.
Tambah Rajagobal, perlawanan semalam menjana ideanya untuk memilih gandingan kesebelasan utama negara apabila menyeberang Tambak Johor menentang Singapura pada Kelayakan Piala Dunia, pada 23 Julai ini, biarpun resah kerana kelalaian pertahanan memberikan keenam-enam gol kepada kelab Liga Perdana England itu.
"Ada kalanya keputusan atau kesilapan individu mematahkan semangat sepasukan sehingga lawan beroleh gol. Tidak hairanlah, pasukan bertaraf dunia seperti Liverpool dengan cepat menghukum kita," katanya.
Rajagobal turut memuji kepintaran dan ketenangan Ismail Faruqi Ashari meskipun baru kali pertama diturunkan menentang pasukan sehebat Liverpool, apatah lagi ketika Malaysia ketinggalan tiga gol.
"Pemain kita bukan jutawan seperti pemain lawan tetapi sesiapa yang membuat kesilapan, dengan segera saya tukar dan beri peluang kepada muka baru untuk membuktikan kemampuan," katanya.
Rajagobal secara berseloroh tidak menafikan pemakaian jersi biru sering kali membawa tuah atau mendorong persembahan yang lebih baik daripada anak buahnya, berbanding ketika menyarung jersi kuning hitam seperti menentang Arsenal, Rabu lalu dan Taiwan di Taipei dalam perlawanan kedua Kelayakan Piala Dunia.
"Pemain seperti ada tenaga tambahan apabila pakai baju biru. Mungkin kita boleh gunakannya lagi apabila menentang Singapura, 23 Julai ini. Saya rasa kita tiada masalah dengan lawan itu (yang mungkin menggunakan jersi pertama atau tempat sendiri, merah)," katanya.
No comments:
Post a Comment