Thursday, July 28, 2011

Kafa janji ganjaran buat Red Warriors, skuad Piala Presiden

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan memberikan ganjaran kepada barisan pemain Red Warriors dan skuad Piala Presiden di atas kejayaan yang diraih musim ini.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, ganjaran tersebut wajar diberikan ekoran kejayaan menjulang Liga Super dan Piala Presiden.

"Semua pemain skuad Piala Presiden dan Liga Super akan mendapat habuan istimewa yang saya akan umumkan sebelum Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Mengulas mengenai kejayaan skuad muda negeri itu memenangi Piala Presiden mengalahkan 
MP Muar 2-1 kelmarin, Annuar berkata, kejayaan tersebut hasil kerja keras serta komitmen yang ditunjukkan semua pemain dan pegawai pasukan itu sepanjang musim ini.

"Tanpa kita banyak beri perhatian, akhirnya mereka membuktikan mampu bergelar juara. Saya mengucapkan tahniah kepada semua pemain dan pegawai pasukan Kelantan.

"Mereka sebenarnya tidak pernah meminta apa-apa malah langsung tidak memberi masalah kepada pihak pengurusan Kafa.

"Perkara seperti ini yang kita mahukan daripada pemain-pemain muda dan ia mencerminkan disiplin dan kualiti yang baik ditonjolkan oleh mereka," katanya.

Tambahnya, kejayaan Kelantan menjulang Piala Presiden itu menjadikan semua enam trofi kejuaraan disimpan di negeri itu.

"Ini merupakan tahun yang cukup bermakna bagi Kelantan. Semua piala yang dipertandingkan kecuali Piala FA kini berada di Kelantan.

"Tahniah kepada 'The Red Warriors' kerana menjadikan tahun yang cukup bermakna bagi Kafa." katanya.

Ditanya mengenai hala tuju Kafa selepas pencapaian menakjubkan meraih enam piala dalam tempoh yang singkat, Annuar menjelaskan pihaknya mempunyai perancangan untuk memastikan kemajuan bola sepak negeri ini sentiasa berterusan.

"Kita akan bentuk satu pasukan belia dan akademi. Malah Kafa menetapkan rancangan untuk membentuk pasukan Bawah 14.

"Kita ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sendiri, macam skuad Liga Super, mereka seharusnya berada dalam kelas tersendiri kerana akan beraksi dalam Kejohanan Piala Konfederasi Asia (AFC).

"Saya lihat sekurang-kurangnya lima atau enam pemain yang berpotensi daripada pasukan pelapis boleh diserapkan ke dalam skuad senior.

"Ini kita mahu seimbangkan supaya perancangan kemajuan bola sepak Kelantan dapat ditingkatkan," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...