KAPTEN Harimau Malaya, Mohd Safiq Rahim menggesa rakan sepasukannya segera meningkatkan prestasi apabila melayan kunjungan Liverpool petang esok walaupun sedar kekecewaan yang masih ditanggung selepas dimalukan Arsenal 4-0 malam kelmarin.
Malah perancang tengah skuad negara mahu melihat aksi persahabatan itu dari sudut yang positif dengan menganggapnya sebagai satu pengalaman dan persediaan yang ampuh untuk menghadapi Singapura di Stadium Jalan Besar pada 23 Julai ini.
“Pertahanan kita agak longgar terutama gol kedua yang mudah dijaringkan lawan sehingga membuat seluruh pasukan patah semangat.
“Namun yang penting persediaan seperti ini (menentang Arsenal dan Liverpool) tetap perlu diambil serius kerana seboleh-bolehnya kami mahu mengekalkan prestasi dan rentak pasukan. Tidak boleh pandang mudah walaupun jurulatih (Datuk K Rajagobal) mahu mencuba kombinasi baru,” katanya.
Dia turut berpendapat Harimau Malaya seharusnya boleh mempamerkan persembahan lebih baik menentang Liverpool di Stadium Nasional, Bukit Jalil petang esok.
“Kami tewas (kepada Arsenal) bukan dengan jaringan yang benar-benar menakjubkan namun seolah-olah kami yang memberikannya (gol mudah). Namun bagus untuk melakukan kesilapan awal daripada melakukannya pada perlawanan penting.
“Kami tidak lagi boleh membuat kesilapan mudah dan seboleh-bolehnya perlu mengurangkannya petang esok kerana apabila berdepan pasukan bertaraf dunia, sedikit kesilapan pasti akan dihukum,” katanya.
Liverpool yang dikendalikan Kenny Dalglish menjadi lawan kedua Harimau Malaya dalam rangka persiapan untuk menghadapi perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2014 Asia selepas Arsenal, kelmarin, manakala Chelsea yang bakal beraksi pada 21 Julai ini akan menentang barisan skuad Olimpik negara.
No comments:
Post a Comment