Wednesday, July 20, 2011

Pengalaman pertama Wan Zack, Piya

KUALA LUMPUR - Kedua-dua pemain ini ternyata berbeza dari segi pengalaman mahupun umur, namun Wan Zack Haikal Wan Nor dan Bahdri Radzi bakal berdepan satu lagi peristiwa yang belum pernah mereka lalui, iaitu menentang kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea, esok.

Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menjadi saksi kepada kedua-dua pemain Pantai Timur ini jika diturunkan oleh jurulatih pasukan Pilihan Malaysia, Ong Kim Swee dalam perlawanan persahabatan sempena Siri Jelalah Asia kelab London itu.

Bagi pemain kelahiran Pahang, Wan Zack, semuanya berjalan lancar dan dia sudah bersedia seratus peratus untuk berdepan dengan pemain bertaraf dunia walaupun pada usia yang amat muda, iaitu 20 tahun dan masih kurang pengalaman di peringkat antarabangsa.

"Saya mengikuti segala arahan jurulatih terutama sekali dari segi taktikal sebagai persediaan penting untuk bertemu dengan pemain Chelsea yang rata-ratanya mempunyai fizikal lebih besar daripada saya," kata pemain Harimau Muda A itu yang ketika ini mewakili skuad Olimpik negara.

Jelas Wan Zack, bukan mudah untuk menentang Chelsea, tambahan pula kesemua pemain skuad itu mempunyai pengalaman dalam saingan EPL mahupun perlawanan antarabangsa mewakili skuad negara masing-masing.

"Saya tetap berasa gugup tetapi saya berjanji akan memberi komitmen seratus peratus dan saya berazam untuk menjaringkan gol, walaupun saya sedar ia bukan satu misi mudah. Saya akan cuba sedaya upaya untuk mencapai cita-cita tersebut," kata pemain sayap kanan itu.

Sementara itu, Badhri atau terkenal dengan panggilan Piya, dia berasa bangga selepas disenaraikan dalam skuad Pilihan Malaysia walaupun ia bukanlah skuad kebangsaan sebenar.
Ini kerana ia adalah pengalaman pertamanya menyarung jersi kebangsaan sejak dia mula bermain bola sepak pada usia remaja.

"Saya akan menggunakan peluang ini sebaik-baiknya. Ini adalah pentas terbaik untuk saya belajar dan membuktikan bahawa saya layak diserapkan dalam skuad kebangsaan kendalian Datuk K. Rajagobal," kata ketua pasukan Kelantan itu.

Pemain berusia 29 tahun itu berkata, walaupun diberi peluang singkat untuk berlatih bersama pemain senior yang lain serta bersama pemain muda, dia akan memberikan persembahan terbaik terutama sekali untuk merencanakan serangan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...