Sunday, July 31, 2011

Buka babak baru

Kim Swee mahu pastikan Harimau Muda mengaum dalam kelayakan Olimpik 

LUPAKAN episod duka babak kegagalan dalam saingan kelayakan Piala Dunia dan buka babak baru ke arah kelayakan Sukan Olimpik 2012 pula.
Sekalipun tampak bukan mudah, ia juga bukan mustahil. Itu gambaran jurulatih skuad Olimpik, Ong Kim Swee mengenai sasarannya untuk meraih kemenangan daripada tiga perlawanan pusingan ketiga kelayakan Olimpik 2012 di gelanggang keramat Stadium Nasional Bukit Jalil


“Pada peringkat kumpulan ini, kita berdepan gergasi Asia - Jepun, Bahrain dan Syria - dan untuk membuat kejutan ke atas pasukan sebegini, kami memerlukan sokongan segenap sudut,” kata Kim Swee ketika dihubungi di Slovakia mengendalikan latihan 23 pemain skuad Olimpik. 

“Saya faham peminat mahukan sesuatu daripada pasukan ini selepas kempen kelayakan Piala Dunia skuad kebangsaan tersekat, tetapi kita perlu realistik dengan sasaran diletakkan. 

“Saya tidak mahu berangan-angan tinggi dengan meletak sasaran tidak rea­listik, tetapi apa yang boleh saya janjikan, tempoh persediaan panjang ini akan digunakan sebaiknya untuk memberikan persembahan terbaik apabila beraksi pada peringkat kumpulan nanti.” 

Skuad Olimpik negara - wakil tunggal Asia Tenggara beraksi di dalam kelompok 12 pasukan terbaik Asia merebut tempat ke London tahun depan - mara ke pusingan ketiga kelayakan Olimpik buat pertama kali sejak 1984, selepas mengetepikan cabaran Pakistan dan Lubnan pada peringkat awal. 

“Saya akan mengambil pendekatan sama seperti kita tewaskan Pakistan dan Lubnan,” kata Kim Swee yang melihat anak buahnya merakam satu kemenangan pada siri perlawanan persahabatan di Slovakia apabila menewaskan kelab Divisyen 1, Moldova 1-0, hasil jaringan Wan Zack Haikal. 

“Latihan sebulan di Slovakia ini bertujuan memperbaiki mutu permainan pasukan dan individu, selain memberi lebih banyak pendedahan antarabangsa kepada pemain. 

“Penekanan saya lebih kepada disiplin di dalam permainan di mana setiap pemain perlu menjalankan tugas masing-masing dengan penuh komited. Sedikit kelalaian akan membawa padah. Saya harap selepas tamat sesi latihan di sini, mutu pasukan ini bertambah baik.” 

Kata Kim Swee, tujuh pemain skuad Olimpik yang bersama skuad kebangsaan kemungkinan menyertai kem latihan di Slovakia tetapi keputusan mengenainya hanya ditentukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) minggu ini. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...