“TAK perlu risau saya akan sihat semula dan semangat saya tetap kuat untuk memastikan Malaysia layak. Itu kata-kata semangat penyerang berbisa negara, Mohd Safee Sali yang tidak sabar untuk membuat perhitungan dengan Singapura Khamis ini meskipun badannya kini sedikit lemah kerana mengalami demam selsema.
Safee, 27, menghidupkan peluang Malaysia untuk meneruskan cabaran di pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 dengan meledak dua gol ketika tewas 5-3 kepada Singapura dalam aksi pertama di Stadium Jalan Besar Sabtu lalu.
Namun sedikit membimbangkan apabila penyerang kelab Indonesia, Pelita Jaya FC itu tidak menjalani sesi latihan bersama Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal semalam kerana diminta berehat akibat demam.
Selain Safee, pemain sayap Mohd Amirulhadi Zainal turut mengalami nasib yang sama dan dilihat hanya menjalani latihan ringan di gimnasium Wisma FAM Kelana Jaya.
Safee yang ditemui Arena Metro berharap tahap kesihatannya akan pulih seperti biasa menjelang perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil kerana misinya bersama Harimau Malaya masih belum selesai.
“Saya sudah berjumpa dengan doktor dan mengambil sedikit ubat, Insya Allah saya akan sihat dan dapat bermain Khamis ini. Apa yang terjadi saya tetap mahu bermain menentang Singapura.
“Misi untuk menang dengan Singapura bukan mustahil kerana kita memiliki rekod baik di Stadium Nasional Bukit Jalil. Saya yakin kita sebenarnya boleh menang lebih daripada dua gol jika semua pemain memberikan aksi terbaik,” katanya.
Ketinggalan 5-3 selepas perlawanan pertama, Malaysia hanya memerlukan kemenangan sekurang-kurangnya dua gol tanpa bolos untuk mengikat agregat.
No comments:
Post a Comment