Wednesday, July 20, 2011

Strategi serampang dua mata

KUALA LUMPUR - Pertemuan menentang Chelsea pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok akan digunakan sepenuhnya oleh jurulatih, Ong Kim Swee untuk menguji kesemua pemain skuad Olimpik dan beberapa bekas pemain kebangsaan.

Menurut Kim Swee, pendekatan yang akan digunakan pada pertemuan dengan kelab London itu ialah meletakkan pemain senior sama ada bekas pemain kebangsaan atau pemain yang pertama kali beraksi dalam skuad kebangsaan dalam separuh masa pertama manakala pemain skuad Olimpik pada babak berikutnya .

"Berdasarkan pengamatan saya ketika skuad kebangsaan menentang Arsenal dan Liverpool sebelum ini, kedua-dua pasukan Liga Perdana England (EPL) tersebut meletakkan pemain muda mereka pada separuh masa pertama sebelum menurunkan pemain utama pada separuh masa kedua," katanya kepada para pemberita di padang Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.

Jelasnya, percaturan tersebut adalah untuk membolehkan pemain senior yang rata-rata pernah beraksi bersama skuad kebangsaan membuktikan kebolehan mereka bersaing dengan pemain muda Chelsea, sekurang-kurangnya bagi mendapat tempat dalam skuad Harimau Malaya bimbingan Datuk K. Rajagobal.

"Bagi skuad Olimpik pula inilah peluang terbaik mereka bersaing dengan pemain senior Chelsea yang kebanyakannya ialah pemain kebangsaan negara masing-masing seperti John Terry (England), Fernando Torres (Sepanyol), John Obi Mikel (Nigeria) dan Frank Malouda (Perancis).

"Selain itu pemain skuad Olimpik ini juga boleh mendapat kata-kata semangat dan belajar daripada sembilan pemain senior yang saya senaraikan sebagai persediaan terbaik mereka menjelang kelayakan Sukan Olimpik 2012 yang bermula September ini," katanya.

Antara pemain senior yang dipanggil Kim Swee ialah Badhri Radzi, Daudsu Jamaluddin, S. Subramaniam, Joseph Kalang Tie, Norhafiz Zamani Misbah, Hairuddin Omar, Farizal Marlias, Shahrulnizam Mustapa dan Amri Yahyah.

"Kalau boleh saya memang hendak memberi peluang semua pemain bawah 23 tahun termasuk mereka yang dipanggil daripada pasukan negeri dan kelab, selain pasukan saya sendiri Harimau Muda A untuk beraksi menentang Chelsea kerana ini adalah peluang terbaik untuk mereka menimba pengalaman," katanya.

Pemain bawah 23 tahun pasukan negeri dan kelab yang disenaraikan Kim Swee adalah Izuan Solahuddin (Kelantan), Zubir Azmi (Terengganu), Faizal Abu Bakar (Kedah), Azrul Azmi (Felda United), Hazwan Bakri (Kuala Lumpur), Azrif Nasrulhaq (PKNS), Nazmi Faiz dan Syazwan Tajuddin (Harimau Muda B).

Selepas ini kesemua lapan pemain tersebut akan bergabung dengan 15 pemain skuad Harimau Muda A yang dijadual menjalani latihan dan perlawanan persahabatan di Slovakia selama sebulan bagi persiapan menjelang perlawanan kelayakan Olimpik peringkat kumpulan.

Antara 15 pemain Harimau Muda A ialah Shukor Jusoh, Gary Steven Robbat, Amer Saidin, Affize Faisal Mamat, Fandi Othman, Ferris Daniel Mat Nasir, Irfan Fazail, Izham Tarmizi, Zamir Selamat, K. Sasikumar, Syahrul Azwari Ibrahim, A. Thamil Arasu, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria.

Mereka akan berlepas ke Slovakia pada Jumaat ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...