PENJAGA gol skuad kebangsaan, Sharbinee Allawee Ramli (depan) berkata sesuatu kepada rakan sepasukan setelah berakhir perlawanan Kelayakan Piala Dunia menentang Singapura, kelmarin. |
SINGAPURA - "Semua gol yang dihasilkan oleh Singapura adalah jaringan yang mudah, ia disebabkan kecuaian pemain Malaysia,".
Itu rumusan jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K. Rajagobal mengenai kerapuhan benteng pertahanan negara sehingga Malaysia mencatat kekalahan terburuk 3-5 pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia di republik itu kelmarin.
Beliau yang kecewa dengan keputusan di Stadium Jalan Besar itu menambah, pemain negara terlalu banyak memberikan ruang kepada lawan dan bagaikan hilang fokus terutama dua gol lawan pada minit akhir babak pertama.
"Dua jaringan tersebut meletakkan Singapura selesa mendahului 4-1, " katanya pada sidang akhbar di sini, kelmarin.
Rajagobal juga tidak menafikan ketiadaan tonggak pertahanan berpengalaman, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak memberikan kesan besar persembahan Malaysia kelmarin.
"Ketiadaan Aidil begitu dirasai, dia merupakan tonggak berpengalaman bahagian pertahanan.
"Jika dia beraksi, dia mungkin mampu memberikan dimensi yang berbeza kepada permainan Malaysia," katanya.
Kalah 3-5 kelmarin adalah kekalahan terburuk skuad negara selepas menjuarai Piala Suzuki AFF tahun lalu pada kejohanan antarabangsa.
Apa yang dikesalkan, Singapura bukanlah lawan yang terlalu hebat, tetapi pasukan negara yang 'bermurah hati' sehingga membenarkan lima gol dibolosi kelmarin.
Tanda kerapuhan benteng skuad negara dirasai sejak pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan.
Masalah kerapuhan pertahanan berterusan pada dua perlawanan persahabatan dengan dua gergasi Liga Perdana Inggeris, Arsenal dan Liverpool apabila gawang Harimau Malaya bocor 14 kali dalam keempat-empat perlawanan.
Bintang muda seperti Mohd. Fadhli Shas, Mohd. Muslim Ahmad dan Mahalli Jasulli yang sebelum ini mempamerkan aksi mantap pada Piala AFF tahun lalu, dilanda kemerosotan prestasi yang dalam perlawanan-perlawanan berkenaan.
Pada aksi kelmarin, Singapura berulang kali berjaya membolosi bahagian pertahanan kanan, membuktikan Mahalli gagal memainkan peranan dengan baik mengekang kemaraan pemain tuan rumah terutamanya dua import China, Qiu Li dan Shi Jiayi, walaupun dia sering membantu barisan serangan dan turut menjadi arkitek kepada gol kedua negara.
Muslim dan Fadhli juga sering kali terlepas mengunci pergerakan penyerang lawan, Aleksandar Duric yang banyak bergerak bebas dalam kawasan penalti dan akhirnya Malaysia dihukum pada jaringan kelima oleh pemain yang berasal dari Serbia itu pada minit ke-80.
Di samping itu aksi yang dipamerkan oleh Sharbinee Allawee di gawang juga agak mendukacitakan apabila langsung tidak berusaha menyelamatkan dua sepakan percuma yang menjadi punca kepada dua gol pertama Singapura.
Tidak dinafikan, Mahalli, Fadhli, Muslim dan Sharbinee mempunyai potensi besar untuk terus mewakili negara pada masa akan datang tetapi bagi perlawanan kedua nanti di Stadium Nasional Bukit Jalil, jurulatih, Datuk K. Rajagobal harus melakukan sedikit rombakan jika tidak mahu skuad negara berputih mata.
No comments:
Post a Comment