SINGAPURA - Jurulatih Taiwan, Lee Tae-Ho, baru-baru ini menyatakan Singapura yang menewaskan mereka 3-2 pada 20 Julai lalu ternyata lebih baik berbanding Malaysia.
Seolah-olah merendahkan kemampuan Malaysia yang menyingkirkan mereka di pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014, jurulatih itu mendakwa, Singapura mempunyai pemain yang matang dan beraksi lebih tersusun berbanding Malaysia.
Pandangan itulah yang menjadi perhatian media Singapura yang diajukan kepada jurulatih Malaysia, Datuk K. Rajagobal pada sidang akhbar semalam.
Bagaimanapun, jurulatih berusia 55 tahun itu tidak cepat melatah, sebaliknya optimis terhadap kemampuan pemainnya sendiri.
''Semua orang boleh menyatakan pendapat mereka masing-masing. Itu terpulang pada mereka.
''Kita mungkin boleh mendapat 80,000 pendapat berbeza daripada 80,000 orang yang datang menonton sesuatu perlawanan. Saya tidak ambil kisah dengan pendapat jurulatih Taiwan kerana saya hanya mahu memberikan fokus kepada pasukan saya sahaja.
''Sebagai jurulatih, saya lebih tahu kemampuan pemain saya sendiri," katanya pada sidang media di Hotel Amara, semalam menjelang perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura, hari ini.
Bercakap mengenai Singapura, beliau berkata, cara permainan Singapura sedikit mirip skuad negara berdasarkan apa yang beliau perhatikan daripada rakaman video dua aksi persahabatan terakhir.
''Apa yang saya dapat nilai, kekuatan dan kelemahan kami tidak banyak berbeza antara satu sama lain, jadi saya sama sekali tidak akan mengambil mudah. Apa yang saya harapkan, pada perlawanan esok (hari ini), pasukan kami dapat menampilkan rentak menarik untuk mencapai kemenangan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment