Friday, July 22, 2011

Sime Darby temui rentak

“BUKAN ingin mendabik dada, tetapi kami akan turun dengan wajah berbeza selepas menemui kembali rentak permainan dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk layak beraksi dalam pentas Piala Malaysia,” kata kapten Sime Darby, Mohd Nor Ismail menjelang pertemuan kedua play-off dengan Pahang, malam ini.

Menurutnya, selepas kecewa di saat akhir dalam perebutan empat slot automatik ke Piala Malaysia ketika saingan Liga Perdana, peluang kedua ini bakal dimanfaatkan sepenuhnya untuk melayakkan diri.

“Kami turun di Stadium Darul Makmur bukan sebagai pasukan pilihan dan pastinya tekanan tidaklah dirasai, lebih-lebih lagi kami membawa bekalan selesa.” katanya.

Dia mengakui motivasi daripada pihak pengurusan turut menyuntik semangatnya dan rakan sepasukan untuk memenangi perlawanan.

Pada pertemuan pertama, Sime Darby mengejutkan lawan 4-0 di Stadium Selayang, Selasa lalu.

Berdasarkan keputusan itu, skuad pendatang baru Liga Perdana itu dilihat berada di landasan terbaik untuk mencipta kejutan layak beraksi kali pertama dalam pentas Piala Malaysia bersama 15 pasukan lain. Sementara itu, jurulatih Ismail Zakaria berkata, walaupun pasukannya mempunyai kelebihan empat gol, ia belum memberi jaminan buat anak buahnya pasti melangkah dengan selesa dalam pentas Piala Malaysia.

“Saya sudah ingatkan pemain usah leka dan kurang melakukan kesilapan serta perlu berwaspada ancaman tuan rumah kerana masih ada 90 minit lagi buat lawan untuk mengubah keputusan biarpun atas kertas Sime Darby tampak mempunyai kelebihan,” katanya.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...