Pemain Malaysia, Amirulhadi Zainal (kanan) berebut bola dengan pemain Singapura, Daniel Bennett pada Kelayakan Piala Dunia di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin. |
KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu pemain skuad negara dikekalkan walaupun gagal meneruskan kemaraan pada Kelayakan Piala Dunia, kelmarin.
Beliau berharap skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal yang puratanya dibarisi pemain berusia 23 dan 24 tahun perlu dikekalkan demi masa depan sukan bola sepak negara.
Tengku Abdullah yang hadir menonton perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin, yang menyaksikan Malaysia seri 1-1 dan tersingkir kepada Singapura dengan agregat 4-6, berkata, Harimau Malaya masih mempunyai masa depan yang cerah.
"Berilah mereka peluang. Gagal kali ini bukan bermakna mereka gagal selamanya, saya yakin skuad ini mampu bangkit, mereka semua masih muda, " katanya.
Harapan Tengku Abdullah disokong dengan hakikat Malaysia kalah kepada lawan yang lebih matang kerana Singapura dibarisi pemain yang berpengalaman, termasuk penyerangnya Aleksandar Duric yang berusia 41 tahun.
Menurutnya, walaupun masih mentah di pentas antarabangsa, pemain negara tetap mencuba yang terbaik kelmarin.
"Pengalaman jelas menjadi penghalang kepada kita berbanding skuad lawan untuk memenangi perlawanan malam ini.
"Para pemain telah berusaha sedaya upaya tetapi akibat penyudah yang kurang baik, kita gagal memenangi perlawanan," kata nya.
Analisis Tengku Abdullah itu berdasarkan aksi beberapa pemain muda pada bahagian pertahanan yang gagal mengekang kemas pergerakan pemain import Singapura seperti Duric, Qiu Li dan Shia Jiayi.
Selain itu, Ismail Faruqi, 23, yang menggantikan Safiq Rahim, jelas terlalu gugup apabila gagal membuka ruang kepada barisan serangan sehingga terpaksa dikeluarkan pada minit ke-70.
Penyerang gantian, Ahmad Fakri Saarani, 22, juga mempamerkan aksi yang cukup mengecewakan dilayangkan kad merah selepas mengutip kad kuning kedua, walaupun dia beraksi dalam tempoh 20 minit permainan.
Safee Sali, 27, pemain paling senior dalam skuad kebangsaan kali ini, menjaringkan gol tunggal skuad negara sebelum jaringan Jiayi pada minit ke-71 memadamkan api perjuangan Harimau Malaya.
Berbanding skuad lawan, Singapura mempunyai ramai pemain berpengalaman yang berusia 30 tahun ke atas seperti Duric, 41, Daniel Bennett, 33, Mustafic Fahrudin, 30 dan Qiu Li, 30 sementara Shahril Ishak selaku kapten berumur 27 tahun dan Juma'at Jantan, 27 tahun.
No comments:
Post a Comment