Friday, July 15, 2011

Tagih sengat Safee

JIKA pendapat pengurus Arsenal, Arsene Wenger diambil kira, skuad Harimau Malaya kini tampak berdepan krisis di bahagian serangan sekali gus bakal menguntungkan Singapura pada pertembungan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 pada 23 Julai ini.
Daripada kaca mata pengendali skuad The Gunners itu - selepas menyaksikan anak buahnya mudah meratah Malaysia 4-0 pada aksi persahabatan kelmarin, pemain negara beraksi baik namun kurang bertenaga di bahagian serangan.

Dan apa yang dinyatakan Wenger itu turut diakui ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal yang masih mempunyai masa untuk mencari formula terbaik sebelum aksi pertama dengan Singapura menerusi satu lagi perlawanan dengan kelab gergasi Inggeris, Liverpool esok.
“Skuad negara akan menentang Liverpool pula selepas ini, penyerang kita tidak mempamerkan permainan biasa mereka pamerkan termasuk Norshahrul Idlan Talaha. Saya mempunyai Abdul Hadi Yahya dan Ahmad Fakri Saarani namun masih kurang menjadi.

“Saya harap Safee (Mohd Sali) kembali sembuh untuk bersama dengan kita bagi pertemuan itu nanti,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Sememangnya kegagalan bahagian serangan berfungsi dengan baik berikutan kecederaan beberapa pemain tonggak sebelum ini sudah dapat dilihat dalam perlawanan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 ketika menentang Taiwan.

Mujurlah pertahanan dan pemain tengah, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak dan Mohd Safiq Rahim menjaringkan satu gol pada dua perlawanan pusingan itu untuk membantu Malaysia mara dengan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas agregat terikat 4-4.

Melihat situasi itu, khidmat peledak sensasi dari kelab Pelita Jaya FC, Safee yang tidak beraksi dalam perlawanan menentang Arsenal bakal ditagih untuk bergandingan dengan Norshahrul biarpun mungkin bukan untuk sepenuh masa bagi menggempur kubu Liverpool.

Rajagobal yang hadir pada sidang media perlawanan persahabatan Jelajah Asia Liverpool 2011 semalam berkata, beliau berharap pemainnya dapat menggunakan peluang bertemu skuad kendalian Kenny Dalglish itu bagi memperbaiki prestasi.

“Ia kesempatan yang baik untuk skuad negara kerana dapat bertemu dengan dua kelab Liga Perdana Inggeris dalam tempoh beberapa hari. Liverpool mempunyai ramai peminat dan ia akan memberi impak kepada bola sepak negara. Yang pasti perlawanan menentang Liverpool ini adalah persediaan terbaik sebelum bertemu Singapura,” katanya.

Liverpool tiba pagi semalam bagi meneruskan siri Jelajah Asia mereka selepas singgah di China sebelum ini dengan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Guangdong Sunray Cave dengan keputusan memihak kepada The Reds 4-3.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...