Wednesday, July 27, 2011

Jangan lalai jika dapat gol awal

Penyerang kebangsaan, Safee Sali (kanan) berbual dengan penyerang SIngapura, Aleksandar Duric ketika kedua-dua pemain bertemu di Kuala Lumpur, semalam.

PETALING JAYA – Bos Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal menuntut pemain mengekalkan fokus jika mendahului pasukan lawan, apabila bertemu Singapura pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia, esok.

Menurutnya, sindrom gagal mengekalkan rentak selepas mendahului lawan harus dielakkan jika mahu meneruskan kemaraan.

“Para pemain harus berada pada tahap tumpuan yang tinggi sepanjang 90 minit perlawanan, malah lebih daripada itu walaupun kita mendahului lawan.

“Pemain tidak boleh terlalu leka dan jangan biarkan fokus hilang jika berhasrat mahu membenam Singapura nanti,” katanya selepas mengiringi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek melawat sesi latihan skuad negara di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Alpa selepas mendahului lawan terserlah ketika Malaysia menentang Taiwan di Taipei, di mana selepas Malaysia mendahului 1-0 hasil jaringan Aidil Zafuan Abdil Razak, pemain bergelut mengawal rentak perlawanan walaupun mendahului dua kali sebelum akhirnya tewas 2-3.

Pada aksi di Singapura Sabtu lalu, gol pembukaan Safee Sali selepas 25 saat perlawanan, tidak banyak membantu Harimau Malaya apabila kecundang 3-5.

Tambah Rajagobal, setelah mengkaji kelemahan pada pertemuan pertama, beliau percaya pemain sudah bersedia untuk menebus segala kesilapan.

“Kita masih ada 90 minit lagi, ini sikap positif yang kita harus ada jika mahu melayakkan diri ke peringkat seterusnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...