Tuesday, July 26, 2011

Subahan: Misi elak dibolosi sebarang gol

PETALING JAYA - Skuad kebangsaan bakal menggalas misi penting menjelang perlawanan timbal balik pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura, Khamis ini iaitu 'tidak bolos sebarang gol' dan pada masa yang sama mencari gol untuk mencari kemenangan.

Perkara itu dijelaskan oleh Pengurus Harimau Malaya, Datuk Subahan Kamal selepas mengadakan perbincangan dengan skuad kebangsaan sebaik sahaja mereka tiba dari Singapura, kelmarin dan perjumpaan khas bersama keempat-empat pemain pertahanan semalam.

"Saya memberi nasihat kepada pemain supaya kita langsung tidak melepaskan sebarang gol dalam masa yang sama mencari ruang terbaik untuk mencari dua gol bagi menyamai agregat dan layak atas kelebihan gol di tempat lawan," katanya di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Beliau yang juga Naib Presiden FAM menegaskan, jika kita mahu menempah laluan ke pusingan seterusnya pemain tidak boleh memberi ruang buat pasukan Singapura untuk menjaringkan sebarang gol,

"Sebagai pengurus pasukan saya juga masih menaruh harapan kepada keempat-empat pemain pertahanan yang beraksi Sabtu lalu, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Asraruddin Putra Omar dan Mahali Jasuli.

"Mereka telah membuktikan keyakinan ketika menjuarai Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF, saya harap jangan ada pihak yang cepat melenting, saya masih yakin dengan kemampuan mereka," katanya.

Ditanya mengenai peluang Khairul Fahmi Che Mat untuk beraksi Khamis ini, Subahan berkata, mungkin penjaga gol Kelantan itu akan diturunkan tetapi fokus utama adalah di bahagian pertahanan.

"Khairul Fahmi seorang penjaga gol yang baik, ketika di Singapura dia masih dihantui kecederaan bahu yang dialami ketika saingan Piala FA, saya harap siapa yang diturunkan dapat beraksi cemerlang nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...