PEMINAT bola sepak tempatan mungkin perlu belajar untuk menerima hakikat kegagalan.
Langit tidak sentiasa cerah dan skuad bola sepak negara juga tidak sentiasa berterusan meraih kejayaan tanpa disulami dengan kegagalan yang sedikit sebanyak mampu dijadikan pengajaran berguna di masa depan.
Tewas dengan agregat 4-6 menyebabkan skuad bola sepak kebangsaan terpaksa akur merelakan Singapura mara bergaya ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2014.
Kegagalan itu menyebabkan terdapat suara-suara sumbang yang mahu jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal dipecat serta- merta.
Namun semua peminat bola sepak tempa- tan harus faham bahawa skuad kebangsaan yang dibarisi pemain-pemain yang agak muda ini sebenarnya merupakan projek jangka panjang ke arah matlamat layak ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia.
“Saya tetap ingin menyatakan bahawa sasaran atau misi utama pasukan ini adalah untuk melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2015.
“Memang kita berasa kecewa gagal layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2014 ini tetapi kita perlu ingat bahawa para pemain ini masih dalam proses membentuk kematangan.
“Beri saya masa dua atau tiga tahun untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap,” kata Rajagobal selepas perlawanan malam kelmarin.
Harapan peminat bola sepak tempatan cukup tinggi selepas melihat skuad kebangsaan menjuarai Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF 2010, biarpun Rajagobal sebenarnya baru sahaja dua tahun mengambil alih tugas se- bagai jurulatih kebangsaan daripada B. Sathianathan.
Tuah yang mengiringi skuad negara sewaktu dalam perjalanan mencapai kejayaan pada Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF 2010 nampaknya tidak berulang pada aksi kedua pusingan kedua di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Berjaya mendahului 1-0 menerusi sepakan padu Mohd. Safee Sali pada minit ke-57, Malaysia sepatutnya mampu mara ke pusi- ngan ketiga andai satu lagi gol berjaya dihasilkan.
Sebaliknya, pada minit ke-71, sepakan jauh penjaga gol, Izwan Mahbud ditanduk ke belakang oleh Aleksandar Duric yang melepasi kawalan Fadhli Shas seterusnya disudahkan dengan baik oleh Shi Jiayi meskipun dua pertahanan negara, Muslim Ahmad dan Asrarud- din Putra Omar mengawalnya.
Maka timbul rasa tidak puas hati tentang strategi dan pemilihan pemain yang dilakukan Rajagobal, terutamanya dengan kemasukan Ahmad Fakri Saarani menggantikan Abdul Hadi Yahaya.
Pemain berpengalaman seperti Baddrol Bakhtiar atau Ashari Samsudin disimpan tanpa diberi peranan menyumbang bakti.
Namun andai jaringan penyamaan Singapura itu dapat dielak, pasti segala kritikan dan kutukan bertukar positif kerana mentaliti para peminat bola sepak di negara ini masih belum berubah iaitu hanya menyokong apabila menang.
Lupakan kegagalan mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2014. Fokus kini perlu dibuat bagi membentuk sebuah pasukan mantap sepanjang 2012 nanti untuk mempertahankan kejuaraan pada Piala Suzuki AFF 2012 dan persiapan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2015 bermula awal 2013.
No comments:
Post a Comment