KUALA LUMPUR – Malam yang sepatutnya menjadi pesta buat hampir 90,000 penyokong Harimau Malaya semalam, bertukar hampa apabila Malaysia kalah kepada Singapura pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia.
Keghairahan untuk menyaksikan Malaysia mara ke pusingan ketiga tidak kesampaian apabila Harimau Malaya kalah dengan agregat 4-6. Begitupun Stadium Nasional menyaksikan terciptanya sejarah apabila hampir 90,000 penyokong menyaksikan perlawanan tersebut.
Jumlah penonton yang begitu ramai memang sudah diduga apabila kesemua tiket untuk perlawanan tersebut habis dijual kelmarin.
Penonton mula memenuhi stadium sejak awal petang dan memenuhi segenap ruang stadium sejak awal petang.
Suasana gamat yang disaksikan bukan saja mereka yang berada di stadium, bahkan jutaan yang menonton menerusi siaran langsung di kaca televisyen adalah bukti terbaik menunjukkan bola sepak kebangsaan kembali mendapat kepercayaan mutlak rakyat.
Sokongan padu ditunjukkan oleh peminat ketika bola sepak Malaysia memasuki fasa baru selepas merangkul pingat emas Sukan SEA 2009 dan Piala AFF tahun lalu.
Suasana semalam sesuatu yang jarang dilihat dalam tempoh dua dekad lalu dalam sebarang perlawanan melibatkan pasukan kebangsaan (tidak termasuk kehadiran kelab Liga Perdana Inggeris), khususnya pra-Piala Dunia.
Ketika Malaysia melayan kunjungan Bahrain pada aksi timbal balik kelayakan Piala Dunia 2010 di Stadium Shah Alam pada 27 Oktober 2007, hanya 2,000 orang yang hadir.
Jumlah kehadiran semalam juga jauh melebihi angka gabungan tiga perlawanan kelayakan edisi 2006 Malaysia beraksi di laman sendiri, 12,000 di Stadium Darul Makmur, ketika Malaysia tewas 1-3; 9,327 juga di Stadium Darul Makmur (Malaysia 0-2 Kuwait) dan 14,000 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang (Malaysia kalah 0-1 China).
No comments:
Post a Comment