2 kapten kemudi Kelantan, Terengganu jadi kuasa baru bola sepak
NAMA Badhri Radzi dan Marzuki Yusof jelas tidak asing lagi kepada peminat bola sepak tanah air. Kedua-dua kapten Kelantan dan Terengganu itu sesungguhnya berjaya mencipta bangga kepada peminat di pantai Timur buat menjadi elemen penting dalam kebangkitan kedua-dua negeri jiran itu.
Mereka tidak dinafikan berjaya mengubah wajah cabaran pasukan yang kini harus diakui sudah menjadi kuasa baru bola sepak negara. Kedua-dua pemain ini mungkin tidak popular bintang lain tetapi keringat dicurahkan kepada pasukan masing-masing harus dihargai selaku inspirasi kepada rakan-rakan lain.
Tiada apa yang lebih menggembirakan buat Badhri selepas menjulang megah trofi Liga Super di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kelmarin, selain terpilih menyarung jersi kebangsaan buat pertama kali untuk perlawanan menentang kelab gergasi Inggeris, Chelsea pada 21 Julai ini.
Pada usia 29 tahun, Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya, menjadi antara tonggak utama Kelantan ketika menjuarai Piala Malaysia, tahun lalu dengan dia sendiri menjaringkan gol kemenangan ke atas Negeri Sembilan.
Tahun ini, Badhri meneruskan rentak kecemerlangan memacu Kelantan menjuarai Liga Super sehingga namanya tersenarai dalam skuad kebangsaan untuk perlawanan persahabatan dengan bekas juara Liga Perdana Inggeris itu.
“Saya gembira diberi peluang ini dan berjanji akan berusaha keras memberi persembahan terbaik buat peminat,” kata Badhri yang kini menjadi sebutan di bibir setiap peminat Red Warriors di atas komitmen membantu pasukan kesayangannya itu.
“Bagaimanapun saya akui ada perasaan gementar untuk mewakili skuad kebangsaan yang rata-rata dibarisi pemain muda negara, tetapi saya akan cuba mengikut rentak permainan pantas mereka. Saya akan cuba.”
Badhri yang memulakan kerjaya profesionalnya bersama Kelantan pada 2002 dan menggunakan jersi nombor 16 seperti dipakai idolanya, Roy Keane ketika mewakili Manchester United.
Selepas cemerlang meledak 15 gol sepanjang musim 2004-2005, Badhri menyertai Polis sebelum kembali ke Kelantan pada 2007.
Dia mula menjadi arkitek utama The Red Warriors yang mula mengorak langkah dalam Liga Malaysia sehingga hampir menjulang Piala FA pada 2009, tetapi tewas kepada Selangor pada final.
Badhri mengalami kecederaan serius di kakinya di akhir musim berkenaan dan terlepas aksi final Piala Malaysia sebelum menebus semula kehampaan tahun lalu dengan menewaskan Negeri Sembilan.
Sementara itu, kapten pasukan Terengganu yang muncul naib juara Liga Super musim ini, Marzuki Yusof berazam membantu pasukannya merangkul piala kedua musim ini - Piala Malaysia - selepas kejayaan menjuarai Piala FA.
“Saya bersyukur dengan kejayaan ini, walaupun menamatkan saingan di tangga kedua, ia pencapaian lebih baik berbanding tempat ketiga tahun lalu,” kata Marzuki. “Tumpuan kini ialah mengungguli Piala Malaysia dan menjuarai Liga Super musim depan.”
Pemain pertahanan tinggi lampai itu pernah menyarung jersi kebangsaan sebanyak empat kali sepanjang 2002 hingga 2003 dan kali terakhir dipanggil untuk mewakili negara ialah untuk kelayakan Piala Asia 2011.
Kelantan menjuarai Liga Super musim ini selepas mengumpul 56 mata, tiga mata mengatasi Terengganu yang mengutip 53 mata, manakala penyandang juara, Selangor di tangga ketiga dengan 52 mata daripada keseluruhan 26 perlawanan.
No comments:
Post a Comment