KUALA LUMPUR - Pengesahan berita mengenai kesemua 85,000 tiket habis dijual di kesemua tiga venue semalam, merupakan khabar gembira buat bola sepak negara kerana ia menandakan skuad Harimau Malaya bakal turun menentang Singapura dengan sokongan padu rakyat.
Namun, sambutan luar biasa terhadap bilangan tiket terhad itu juga bermakna akan ada segelintir mereka berasa kecewa terlepas peluang menyaksikan perlawanan itu kerana tidak sempat memperolehi tiket yang sudah habis dijual.
Tinjauan Utusan Malaysia ke Stadium Nasional Bukit Jalil, salah satu venue selain Stadium Shah Alam dan Stadium Majlis Bandar Raya Petaling Jaya (MBPJ) pada sekitar pukul 11.30 pagi, mendapati masih terdapat sekumpulan peminat yang enggan berganjak meskipun tiket sebenarnya telah habis disapu setengah jam sebelumnya dan kaunter telah pun ditutup.
Apabila ditanya, rata-ratanya menjawab mereka masih menanam harapan kaunter tiket akan dibuka semula dan menjual baki tiket selebihnya pada sebelah tengah hari nanti.
Namun, mereka sebenarnya sedar sudah terlepas peluang, cuma tidak dapat menerima hakikat.
Mereka seterusnya menuding jari ke arah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan mempersoalkan bagaimana jualan tiket dikendalikan.
Salah seorang peminat, Zaini Rahim, 26, berkata, dia berang selepas melihat seorang peminat membeli 50 keping sekali gus dan hairan apakah lelaki itu mempunyai begitu ramai rakan memesan daripadanya.
"Saya mengaku saya tiba lewat berbanding peminat-peminat lain, tetapi langsung tak menjangka 10,000 tiket akan habis dalam tempoh begitu singkat.
"Belum sampai giliran saya di kaunter, kakitangan di kaunter sudah mengumumkan tiket habis dijual. Jadi melihat ada mereka yang membeli 20 hingga 30 keping sekali gus, tak hairanlah ia habis begitu cepat.
"Bukankah FAM sepatutnya mengehadkan lima keping setiap orang untuk mengelak perkara ini berlaku," katanya dalam nada kecewa.
Meneliti keluhan Zaini, seperti dijangka memang ada ulat tiket yang mengambil kesempatan membeli tiket dalam kuantiti yang banyak dan kemudiannya menjualkan pada harga berlipat kali ganda.
Naziri Rasbi, 35, dari Senawang memberitahu wartawan Utusan Malaysia yang dia telah didatangi 'ulat tiket' yang menawarkan tiket RM30 pada RM50.
"Memandangkan keadaan terdesak, saya memang tak kisah membelinya dengan minta dikurangkan RM40, namun dia tetap tegas dengan RM50. Ia terlalu mahal jadi saya menolaknya," jelasnya.
Ada juga dakwaan mengenai seorang lelaki berusia sekitar 40-an dilihat membeli 90 keping tiket di situ dan sejurus berjaya mendapatkan tiket dengan selamba menawarkan kepada orang ramai yang masih berbaris panjang dengan tawaran harga RM50 bagi tiket yang harga asalnya RM30.
Utusan Malaysia percaya ulat-ulat tiket tidak bertanggungjawab dijangka akan muncul lagi hari ini bagi menjualkan tiket-tiket dalam tangan mereka pada saat-saat akhir dengan harga tidak masuk akal.
Didapati juga ada yang licik menawarkan tiket RM30 di laman jual beli www.mudah.com.mypada harga 10 kali ganda RM300!
Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu FAM, Datuk S. Sivasundram ketika ditanya mengenai isu itu berkata, FAM ada memberi arahan kepada kaunter yang setiap pembeli tiket dihadkan empat keping seorang.
Hakikatnya, ia tidak berlaku sepanjang tempoh dua hari penjualan tiket dijalankan. FAM harus melakukan sesuatu.
No comments:
Post a Comment